Nexus senjata Google lawan Apple

Nexus senjata Google lawan Apple

SAN FRANCISCO, 30 Sept (AFP) – Google kembali menyaingi Apple semalam dengan sepasang telefon pintar baru, tablet “convertible” dan gadget lain menjelang musim percutian membeli-belah akhir tahun.

Gergasi teknologi California itu melancarkan dua telefon pintar Nexus baru dengan ciri-ciri yang dipertingkatkan termasuk sensor cap jari dan kamera yang lebih baik untuk bersaing di pasaran yang dikuasai Apple dan Samsung.

Google berkata, ia bekerjasama dengan LG Korea Selatan untuk Nexus 5X skrin 5.2 inci dan bersama Huawei China untuk “phablet” Nexus 6P bersaiz 5.7 inci.

Kedua-dua telefon bimbit itu akan dijual secara “unlocked” dengan Google berharap untuk mengambil kesempatan daripada trend di AS dan pasaran lain yang jauh daripada subsidi telefon pintar sebagai sebahagian daripada kontrak jangka panjang.

Seorang peserta acara media Google di San Francesco sedang memeriksa Nexus 5X yang diperkasakan dengan Chromecast dan sistem operasi Android 6.0 Marshmallow. – AFP
Seorang peserta acara media Google di San Francesco sedang memeriksa Nexus 5X yang diperkasakan dengan Chromecast dan sistem operasi Android 6.0 Marshmallow. – AFP

“Kami mengambil berat bagi memastikan ia mampu milik dan telefon pintar berkualiti tinggi untuk pengguna di seluruh dunia,” kata ketua produk Google Sundar Pichai yang dijadualkan untuk mengetuai unit terbesar syarikat di bawah penyusunan semula yang diumumkan awal tahun ini.

Telefon itu yang akan menggunakan sistem operasi Google Android, boleh didapati untuk pesanan di AS, Britain, Jepun dan Malaysia, dengan lebih banyak negara akan ditambah minggu depan, kata Google ketika melancarkan telefon dalam satu acara media San Francisco. Nexus 5X bermula pada harga AS$379 untuk pelanggan AS dan 6P pula bermula pada harga AS$499.

Peranti ini menampilkan sistem operasi baru Android dikenali sebagai Marshmallow, yang dilengkapi sensor cap jari untuk membuka kekunci dan ciri-ciri lain termasuk Android Pay.

Harga telefon ini lebih rendah berbanding peranti premium Apple seperti iPhone 6S dan 6S Plus yang baru, dan tawaran yang sama dari Samsung.

Dengan peranti berjenama Nexus, Google mampu menguasai sebahagian besar perkakasan dan perisian dalam cara yang sama dengan Apple yang mempunyai sistem operasi sendiri.