Neymar bermain di Olimpik, tidak sertai Copa America

Neymar bermain di Olimpik, tidak sertai Copa America

MADRID, 21 April – Neymar akan bermain buat Brazil di Olimpik Rio de Janeiro namun tidak akan menyertai Copa America, kata Barcelona awal pagi tadi.

Berita itu diumumkan kelab Catalan itu selepas membelasah Deportivo La Coruna 8-0 pada saingan Liga Sepanyol dengan Neymar menjaringkan satu gol untuk menamatkan rentetan lima perlawanan tanpa gol.

Neymar berkata dia mahu bermain dalam kedua-dua kejohanan dan persekutuan bola sepak Brazil meminta pelepasan buatnya.

Namun Barcelona tidak mahu kehilangan penyerang itu terlalu lama dan bimbang pembabitannya dalam kedua-dua kejohanan boleh memberi kesan kepada persiapan musim depan.

Persekutuan itu dan kelab sudah berbincang sejak beberapa bulan sebelum akhirnya menemui penyelesaian.

Neymar akan mewakili Brazil di Olimpik Rio tetapi tidak akan menyertai Copa America. – AFP
Neymar akan mewakili Brazil di Olimpik Rio tetapi tidak akan menyertai Copa America. – AFP

“FC Barcelona mengucapkan penghargaan kepada Persekutuan Bola Sepak Brazil dan presidennya Marco Polo del Nero kerana menerima cadangan kelab.

“Neymar Jr hanya bermain pada Sukan Olimpik di Rio de Janeiro pada musim panas ini, dan bukan pada Copa America di Amerika Syarikat,” kata kenyataan Barcelona.

Kelab tidak perlu mematuhi FIFA untuk melepaskan pemain ke Olimpik, tetapi perlu melakukannya untuk Copa America Centenario di Amerika Syarikat. – AP

ARTIKEL YANG SAMA