Neymar digantung empat perlawanan

Neymar digantung empat perlawanan

SANTIAGO, 21 Jun (AFP) – Ketua pasukan Brazil, Neymar terkeluar dari Copa America selepas digantung empat perlawanan kerana terlibat dengan pergaduhan semasa perlawanan menentang Colombia.

Konfederasi Bola Sepak Amerika Selatan (CONMEBOL) mengesahkan keputusan terhadap pemain berusia 23 tahun itu, yang dilayangkan kad merah selepas pasukannya tewas 0-1 dalam perlawanan Kumpulan C menentang Colombia.

Neymar turut didenda AS$10,000 dan tidak dapat beraksi dalam kejohanan itu melainkan pemain Barcelona itu berjaya dalam rayuannya.

Brazil, yang akan bertemu Ve­nezuela dalam perlawanan terakhir kumpulan hari ini, hanya memiliki baki empat perlawanan sekiranya berjaya ke pentas final.

Neymar dilayangkan kad merah ketika menentang Colombia selepas perlawanan itu bertukar menjadi pergaduhan dengan bintang Brazil itu cuba menghantuk kepalanya ke arah penjaring gol Colombia, Jeison Murillo.

Pemain Colombia, Carlos Bacca yang menolak Neymar selepas kejadian itu turut digantung dua perlawanan.

Jika hukuman ini kekal, bermakna ini sesuatu yang sungguh malang untuk penyerang muda itu yang menjadi sandaran negaranya dalam memburu kejuaraan Copa America pertama sejak 2007. Perlawanan pada Rabu lalu itu berlangsung dengan Neymar sememangnya mempunyai ‘dendam’ terhadap pasukan Colombia.

Bintang Brazil itu mengalami kecederaan teruk apabila tulang belakangnya retak setelah pemain Colombia, Juan Camilo Zuniga berlaga dengannya ketika bertemu dalam perlawanan suku akhir Piala Dunia pada Julai tahun lalu.

Kecederaan itu menyebabkan Neymar terpaksa berehat panjang dan terkeluar daripada kejohanan.

ARTIKEL YANG SAMA