Neymar jemput Messi naik jet peribadi

Neymar jemput Messi naik jet peribadi

BELO HORIZONTE, Brazil, 9 Nov – Mereka kelihatan bermusuh dalam pertembungan terkini antara pasukan bola sepak Brazil dan Argentina, namun Neymar tidak menjadikan permusuhan selama 102 tahun kedua-dua negara dalam bola sepak Amerika Selatan itu menjadi penghalang persahabatannya dengan rakan sepasukan di Barcelona, Lionel Messi dan Javier Mascherano.

Jadi apabila ketiga-tiga pemain itu mencari jalan untuk ke Belo Horizonte bagi kempen kelayakan Piala Dunia 2018 Jumaat ini, bintang Brazil Neymar tidak ragu-ragu menjemput Messi dan Mascherano untuk bersama-sama menaiki jet peribadinya.

Trio terbabit tiba di negara itu semalam untuk menyertai latihan skuad masing-masing menjelang pertarungan tumpuan zon kelayakan Amerika Selatan minggu ini.

Gambar ketiga-tiga pemain itu tersenyum di jet peribadi Neymar tersebar dalam media sosial sejurus sebelum mereka tiba di Brazil bagi pertemuan ‘superclasico’ Amerika Selatan itu.

Mascherano (kiri) dan Messi bergambar bersama juruterbang di dalam jet peribadi Neymar.
Mascherano (kiri) dan Messi bergambar bersama juruterbang di dalam jet peribadi Neymar.

Pasukan Argentina pula menggunakan kereta api buat kali pertama ke Belo Horizonte, di mana pasukan itu menjadikan bandaraya berkenaan pangkalan mereka ketika kempen Piala Dunia 2014.

Juara dunia dua kali itu memerlukan keputusan positif dalam perlawanan menentang Brazil selepas hanya memperoleh dua mata daripada tiga perlawanan terdahulu.

Keputusan itu menyebabkan Argentina kini di kedudukan keenam dalam kedudukan daripada 10 pasukan, dan berisiko terkeluar daripada pasukan yang melayakkan diri ke Rusia 2018.

“Ini adalah peluang terbesar untuk kami membuktikan bahawa kami boleh mencabar pendahulu,” penyerang Manchester City Sergio Aguero berkata kelmarin. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA