Neymar kekal, Alves mahu berhijrah

Neymar kekal, Alves mahu berhijrah

BARCELONA, 3 Jun – Neymar bakal menandatangani kontrak baharu dengan Barcelona manakala Dani Alves mening-galkan pasukan itu selepas memenangi 23 gelaran dalam tempoh lapan tahun bersama kelab gergasi Sepanyol itu.

Pengarah Barcelona, Robert Fernandez menamatkan spekulasi membabitkan Neymar yang dikatakan bakal meninggalkan Nou Camp apabila menegaskan penyerang antarabangsa Brazil itu semakin hampir untuk memperbaharui kontraknya untuk tempoh jangka masa panjang.

“Neymar akan kekal. Dia akan menandatangani perjanjian dengan Barca dan dia akan berada di sini untuk tempoh yang lama.

“Kelab akan mengumumkan mengenai perkara ini selepas kontrak diperbaharui,” kata Fernandez.

Sebelum ini, penyerang itu dikatakan bakal meninggalkan Sepanyol terutama selepas menghadapi masalah dengan pembayaran cukai di negara berkenaan.

Laporan media di Brazil berkata pasukan dari England bersedia untuk menawarkan kontrak lumayan kepada pemain berusia 24 tahun itu selepas kontraknya bersama Barcelona tamat pada 2018.

Neymar menjaringkan 31 gol dalam 48 perlawanan bersama Barcelona musim ini. Bagi Alves, Fernandez, berkata pemain berusia 33 tahun itu membuat keputusan peribadi untuk meninggalkan skuad Catalan itu dan pihak pengurusan kelab menghormatinya.

Tonggak pertahanan Brazil itu semakin hampir untuk menandatangani kontrak bersama kelab Itali, Juventus tetapi perjanjian berkenaan masih belum didedahkan.

“Alves adalah pemain yang disayangi dan sikapnya baik di atas mahupun di luar padang sangat menakjubkan. Namun, ini adalah keputusannya dan kami perlu menghormatinya,” katanya.

Alves yang terkenal dengan suara lantangnya sudah memenangi 23 gelaran bersama kelab itu sejak dia berpindah dari Sevilla pada 2008 – menjadi pemain luar kedua membuat penampilan paling banyak sebagai pemain Barcelona.

Barcelona turut mengesahkan penyerang berusia 20 tahun, Sandro akan meninggalkan kelab berkenaan manakala penjaga gol, Marc-Andre ter Stegen dan Claudio Bravo akan kekal sehingga musim depan. – AP