Neymar kembali

Neymar kembali

MONTEVIDEO, Uruguay, 11 Nov (AFP) – Bintang sensasi Brazil, Neymar kembali daripada penggantungan bagi pertemuan menarik pada kelayakan Piala Dunia 2018 Zon Amerika Selatan apabila bertemu musuh tradisi, Argentina, Jumaat ini.

Neymar disisihkan daripada dua perlawanan awal kelayakan, bulan lalu yang menyaksikan Brazil tewas 2-0 kepada Chile sebelum menewaskan Venezuela 3-1, susulan penggantungan empat perlawanan ketika Copa America, Jun lalu.

Begitupun, penyerang prolifik itu dijadual kembali bagi menguatkan juara dunia lima kali itu bertemu Argentina yang ketika ini dianggap tempang akibat masalah kecederaan di Buenos Aires.

Tanpa khidmat penyerang berkualiti, Lionel Messi, Argentina tewas 2-0 di laman sendiri kepada Ecuador pada aksi sulung kelayakan sebelum mencatat keputusan seri tanpa jaringan bertemu Paraguay di laman lawan.

Pemain veteran Brazil, Kaka yang kembali mengisi senarai skuad bimbingan Dunga, awal tahun ini percaya pasukannya mempunyai ramuan untuk menewaskan Argentina.

Neymar (kiri) melambai ke arah media di hadapan Daniel Alves (kanan) setibanya mereka di sebuah hotel di Guarulhos, semalam. – Reuters
Neymar (kiri) melambai ke arah media di hadapan Daniel Alves (kanan) setibanya mereka di sebuah hotel di Guarulhos, semalam. – Reuters

“Argentina belum memenangi perlawanan jadi mereka mempunyai motivasi yang lebih untuk menewaskan Brazil,” kata bekas bintang AC Milan itu.

“Kami memperoleh kemenangan yang baik menentang Venezuela dan kami perlu meneruskannya. Begitupun, bukan mudah untuk menentang Argentina dan perlawanannya sentiasa menarik.

“Kami sedar betapa sukar untuk pergi ke sana dan mendapatkan keputusan yang baik, namun kami boleh menang.

“Kami membuat kunjungan ke sana pada 2009 dan menang, saya masih boleh mengingati kami berpesta sejurus permainan berakhir,” katanya.

Satu mata daripada dua perlawanan jelas memberikan tekanan tambahan kepada pengurus Argentina, Gerardo ‘Tata’ Martino yang kedudukannya sudah pun goyah selepas barisan bintangnya gagal menjuarai Copa America 2015.

Persiapan Martino bagi pertemuan di Stadium Monumental itu sudah pun dipalit pelbagai masalah terutama di jentera serangan.

Selain kapten, Messi yang tidak beraksi akibat kecederaan lutut, Argentina turut kehilangan khidmat penyerang Manchester City, Sergio Aguero manakala penyerang veteran, Carlos Tevez turut berdepan kecederaan dan terlepas sesi latihan pada Isnin lalu.

Menambah deritan Martino, pemain tengah Paris Saint-Germain (PSG), Javier Pastore juga dijangka tidak dapat diturunkan akibat kecederaan paha.

ARTIKEL YANG SAMA