Neymar ‘luar biasa untuk Perancis’

LONDON, 12 Sept – Penandatanganan bintang Brazil, Neymar, dengan rekod dunia oleh Paris Saint-Germain adalah ‘luar biasa untuk Perancis’, kenyataan yang dibuat oleh presiden kelab, Nasser Al-Khelaifi (gambar) kepada Daily Telegraph.

PSG telah membayar Barcelona 222 juta euro (AS$264) untuk Neymar, 25, pada bulan Ogos sebelum menandatangani Kylian Mbappe melalui pinjaman dengan pilihan untuk membeli pemain berusia 18 tahun dari Monaco itu dengan nilai mencapai 180 juta euro, dalam perjanjian kedua termahal dalam sejarah.

Mbappe telah menjadi sasaran Real Madrid dan perjanjian itu telah mencetuskan reaksi marah dari ketua La Liga, Javier Tebas, yang menuduh PSG dan pasukan Liga Perdana , Manchester City, memperolokkan peraturan Permainan Kewangan Adil (FFP) UEFA.

Namun Al-Khelaifi memberitahu Telegraph dalam satu temu bual menjelang perlawanan pembukaan Liga Juara-Juara antara PSG dan Celtic di Glasgow bahawa ketibaan Neymar perlu diraikan kerana ia juga membuka persaingan di kejohanan perdana Eropah itu.

“Neymar merupakan bintang antarabangsa,” kata Al-Khelaifi.

“Jenama antarabangsa. Semua orang bertanya ‘apa yang terjadi di Perancis dan liga Perancis? Neymar bermain untuk Paris Saint-Germain!”

“Malah orang yang tidak berminat dalam bola sepak pun bercakap mengenainya.

“Perlawanan pertama Neymar di Guingamp telah disiarkan kepada 183 buah negara. Ia luar biasa untuk Perancis dan liga Perancis.

“Ia juga bagus untuk Liga Juara-Juara kerana anda akan mempunyai sebuah lagi kelab untuk disaingi, saya tidak katakan kami sudah berada di sana, tetapi ia adalah penting untuk kelab baru masuk dan kelab dengan cita-cita besar,” tambah Al-Khelaifi, yang berkata memenangi Liga Juara-Juara adalah ‘matlamat terbesar’.

Dia juga berkata impak ke atas profil kelab secara global yang tercetus oleh penandatangan Neymar adalah menakjubkan.

“Kini kami mempunyai masalah baik untuk diselesaikan, kami tidak mempunyai jersi yang cukup!” katanya. – AFP