Neymar makin tertekan

LONDON, 13 Nov – Awan gelap menyelubungi bintang Brazil, Neymar, ketika negara itu bersedia untuk mengharungi perlawanan terakhir bagi tahun 2017 menentang England di Wembley, awal pagi Rabu ini.

Meskipun sudah menjaringkan 11 gol daripada 12 perlawanan sejak perpindahan rekod dunia ke Paris Saint-Germain (PSG) dari Barcelona, berita mengenai perbalahan dengan rakan sepasukan serta jurulatih, Unai Emery lebih mendapat perhatian.

Neymar kelihatan tidak bermaya ketika sidang media selepas kemenangan 3-1 Brazil ke atas Jepun pada aksi persahabatan di Lille, Jumaat lalu apabila mengalirkan air mata selepas jurulatih, Tite bangkit mempertahankannya sebelum bergegas meninggalkan bilik berkenaan.

“Apabila kamu adalah idola, contoh kepada ramai orang, kamu perlu menjadi sempurna dan amat jelas saya tidak seperti itu,” kata Neymar sebelum tindakannya itu.

“Saya baru berusia 25 tahun dan masih banyak yang perlu dipelajari dalam bola sepak.”

Bintang Brazil, Neymar ketika beraksi dalam perlawanan persahabatan menentang Jepun di Stadium Pierre Mauroy. Meskipun menjaringkan gol dalam perlawanan itu Neymar dilihat mendapat gangguan emosi ketika menghadiri sidang media. – AP

Neymar secara umumnya menyinar di Ligue 1, sejak melengkapkan perpindahan bernilai 222 juta euro dari Barcelona, tetapi prestasi terkininya mula menunjukkan tanda kurang selesa.

Dia diarah keluar padang ketika PSG mencatat keputusan seri 2-2 di Marseille, selepas dilayangkan kad kuning kedua susulan tindak balasnya terhadap terjahan yang dilakukan Lucas Ocampos.

Meskipun menjaringkan gol ketika menentang Jepun, dia turut dilayangkan kad kuning atas kekasaran ke atas Hiroki Sakai, yang juga beraksi untuk Marseille.

Lebih membimbangkan bagi penyokong PSG, adanya beberapa laporan di Brazil yang mengatakan Neymar sudah pun meluahkan kekesalannya meninggalkan Barcelona.

Dia sudah kembali ke Catalan sebanyak dua kali sejak awal musim ini dan gambarnya bersama Lionel Messi dan Luis Suarez turut dilihat, dan ada juga laporan yang menyatakan bahawa dia bertanya mengenai perasaan mereka jika dia kembali. – AFP