Neymar pengganti saya – Ronaldinho

Neymar pengganti saya – Ronaldinho

MADRID, 27 Dis – Ronaldinho percaya bintang Barcelona, Neymar memiliki semua ciri-ciri untuk menguasai permainan di kedua-dua peringkat – kelab dan negara.

Pemenang anugerah Pemain Terbaik Dunia FIFA sebanyak dua kali itu menegaskan rakan senegaranya itu juga sudah mencapai tahap yang diperlukan untuk dinobatkan sebagai pemenang Ballon d’Or, selepas mengharungi musim 2015 yang luar biasa bersama gergasi Sepanyol itu. Neymar menambah Piala Dunia Kelab dalam senarai koleksi kejayaannya dalam tempoh 12 bulan lalu, selepas menjulang Piala Super Eropah pada Ogos selain Liga Juara-Juara, La Liga dan Copa del Rey bersama Barcelona pada akhir musim lalu.

Ronaldinho yang memenangi Piala Dunia, Copa America dan Piala Konfederasi sepanjang 14 tahun dalam kerjaya antarabangsanya turut percaya Neymar sudah sedia untuk mengatasi segala tekanan.

“Tidak diragui lagi, Neymar adalah pewaris saya,” kata Ronaldinho. “Dia melaksanakan tugas itu dan dia sudah melakukannya sejak beberapa tahun lalu.

“Dia seorang pemain yang hebat dan dia akan memimpin Brazil untuk beberapa musim akan datang.”

Neymar yang meledak 41 gol dalam semua pertandingan kalendar tahun ini untuk skuad kendalian Luis Enrique juga tersenarai dalam tiga pemain yang bakal merebut anugerah Ballon d’Or yang akan diumumkan 11 Januari ini.

Neymar bagaimanapun berdepan cabaran daripada rakan sepasukan Lionel Messi dan bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo yang memenangi anugerah itu pada 2014. – Agensi

ARTIKEL YANG SAMA