Neymar pikul beban berlebihan di Olimpik

Neymar pikul beban berlebihan di Olimpik

RIO DE JANEIRO, 21 Julai – Pengendali skuad kebangsaan Brazil semalam memberi amaran mengenai beban tekanan yang diberikan terhadap bintangnya, Neymar pada Olimpik Rio yang bermula bulan depan.

Ini beberapa hari selepas jurulatih skuad Olimpik, Rogerio Micale atau lebih dikenali sebagai Tite di Brazil berkata, dia lega pasukan itu akan banyak bergantung kepada bintang Barcelona itu.

“Ia sesuatu yang tidak berperikemanusiaan untuk meletakkan segala tanggungjawab kepada satu orang saja,” kata Tite yang menggantikan Dunga sebagai ketua jurulatih juara dunia lima kali itu.

“Tanggungjawab sepatutnya dipikul oleh jurulatih dan juga ahli pasukan lain, ketika masanya tiba, kepada sesiapa yang mempunyai kualiti untuk mengambil tanggungjawab itu,” katanya.

Neymar memikul bebanan yang sangat berat di mana Micale dan pasukannya akan banyak bergantung kepada bintang Barcelona itu. – AFP
Neymar memikul bebanan yang sangat berat di mana Micale dan pasukannya akan banyak bergantung kepada bintang Barcelona itu. – AFP

Tite merujuk kepada pasukan Portugal yang menjuarai Euro 2016 baru-baru ini yang menewaskan Perancis di final sekali pun kehilangan tonggaknya, Cristiano Ronaldo di awal permainan kerana kecederaan.

Dia turut merujuk kepada musuh tradisi, Argentina yang tetap gagal untuk menewaskan Chile di sebalik dikuatkan bintangnya, Lionel Messi.

Selasa lalu, jurulatih skuad Olimpik Brazil, Micale selesa dengan idea untuk meletakkan segala tanggungjawab kepada Neymar dengan berkata: “Saya mahu bergantung kepada Neymar.”

Brazil yang muncul negara terbanyak menjuarai Piala Dunia tidak pernah memenangi pingat emas Olimpik dan tiga kali menjadi naib juara. – AFP