Neymar pimpin misi balas dendam Brazil

Neymar pimpin misi balas dendam Brazil

RIO DE JANEIRO, 18 Ogos – Neymar menjaringkan dua gol, termasuk gol terpantas dalam sejarah Olimpik selepas membelasah Honduras 6-0, sebentar tadi dan kini, Brazil berpeluang membalas dendam ke atas Jerman dalam perebutan pingat emas.

Kedua-dua pasukan akan bertemu di Maracana pada Sabtu ini, hanya dua tahun selepas Jerman mengaibkan Brazil 7-1 di pentas separuh akhir Piala Dunia 2014 di stadium sama.

Juara dunia, Jerman mara ke pentas akhir buat kali pertama sebagai negara bersatu apabila menumbangkan Nigeria 2-0 di Sao Paulo hasil jaringan Lukas Klostermann dan Nils Petersen.

Neymar sebelum ini dicemuh gara-gara prestasi hambar dalam dua perlawanan pertama yang menyaksikan Brazil sekadar seri tanpa jaringan. Namun, dia kembali menjadi ‘budak emas’ The Selecao apabila membuka tirai jaringan selepas 15 saat aksi.

“Neymar benar-benar hebat. Dia memang berbakat bermain bola sepak. Dia menceriakan semua orang dengan bakatnya,” kata jurulatih Brazil Rogerio Micale. “Kita terhutang budi dengan Neymar kerana dia berjaya menjulang Brazil ke satu tahap tertinggi.”

pg24_160819_olympic logo

Neymar menyempurnakan sepakan penalti pada perlawanan separuh akhir Olimpik menentang Honduras di stadium Maracana, kelmarin. – AP
Neymar menyempurnakan sepakan penalti pada perlawanan separuh akhir Olimpik menentang Honduras di stadium Maracana, kelmarin. – AP

Penyerang sensasi Barcelona itu mencuri bola daripada Johnny Palacios di kawasan kotak penalti Honduras sebelum mudah menewaskan penjaga gol lawan Luis Lopez. Tonggak baru Manchester City, Gabriel Jesus menambah luka Honduras dengan dua jaringan sebelum berakhir babak pertama.

Pertahanan Paris Saint-Germain, Marquinhos menjadikan kedudukan 4-0 enam minit selepas bersambung babak kedua sebelum Luan dan Neymar yang menyempurnakan penalti untuk gol kedua perlawanan melengkapkan pesta bergaya tuan rumah itu.

Persembahan terbaik mereka terus menyerlah apabila Luan berjaya menyempurnakan peluang untuk gol kelima Brazil selepas Gabriel Barbosa memberi hantaran kepada Felipe Anderson untuk hantaran lintang rendah. Neymar melengkapkan persembahan menarik dengan gol keduanya dari kawasan penalti pada masa kecederaan.

Jerman pasti akan berharap untuk mencipta semula kenangan gembira di Rio selepas menewaskan Brazil untuk menjulang Piala Dunia di Maracana dengan kemenangan 1-0 ke atas Argentina pimpinan Lionel Messi dua tahun lalu.

Pertahanan Matthias Ginter adalah satu-satunya pemenang Piala Dunia skuad Olimpik Jerman. Walaupun kedua-dua pasukan ada persamaan, beliau menegaskan 7-1 adalah pengalaman ‘sekali seumur hidup’.

“Kami mempunyai semangat berpasukan yang sama. Kami berjuang antara satu sama lain,” Ginter memberitahu SporTV. “Kami amat gembira untuk berada di final dan mendapat pingat. Ia pengalaman sekali seumur hidup. Kami tidak akan menang 7-1 lagi menentang Brazil.” – AFP