Neymar sahkan Man City berminat terhadapnya

Neymar sahkan Man City berminat terhadapnya

BARCELONA, 28 Dis – Bintang Barcelona, Neymar mengesahkan Manchester City berminat mendapatkan khidmatnya, sekali gus tidak menolak kemungkinan beraksi dalam kancah Liga Perdana Inggeris (EPL) pada masa depan.

Penyerang berusia 23 tahun itu sedang menikmati musim cemerlangnya bersama Barca – membantu kelab gergasi Sepanyol itu menjulang trofi La Liga, Piala Raja Sepanyol, Liga Juara-Juara Eropah, Piala Super Eropah dan Piala Dunia Kelab.

Neymar yang kembali ke Sepanyol selepas menghabiskan cuti Krismas, semalam mendedahkan kepada media mengenai minat yang ditampilkan kelab Inggeris itu.

Bercakap mengenainya di Lapangan Terbang El Prat dengan senyuman di wajah, Neymar dipetik berkata: “Ya, ya” sebelum menambah “Saya tidak tahu, kehidupan masih panjang” ketika ditanya mengenai prospek meninggalkan Barcelona.

Di sebalik segala spekulasi yang mengaitkannya, pemain kebangsaan Brazil itu masih memiliki kontrak di Nou Camp sehingga musim panas 2018 dengan perbincangan mengenai kontrak baharu sedang berjalan.

Bekas pemain kelab Brazil, Santos itu juga optimis kontraknya bersama kelab Catalan itu akan disambung.

Salah satu akhbar sukan di Barcelona melaporkan Presiden Real Madrid, Florentino Perez terdesak untuk menyambung kontrak pemain itu. – Agensi