Neymar sandaran emas Olimpik Brazil

Neymar sandaran emas Olimpik Brazil

RIO DE JANEIRO, 3 Ogos – Brazil mengharungi kempen paling buruk pada Piala Dunia 2014 dan kini pasukan itu mengharapkan sentuhan bintang Barcelona, Neymar bagi menamatkan penantian meraih emas bola sepak Olimpik.

Emas Olimpik adalah satu-satunya gelaran utama yang masih belum berada dalam koleksi Brazil yang menyaksikan pasukan berkenaan merekodkan lima kejuaraan Piala Dunia.

Skuad Brazil kini terdesak bagi mengubati kekecewaan selepas tewas 1-7 di tangan Jerman dalam aksi separuh akhir Piala Dunia, dua tahun lalu walaupun tampil sebagai pasukan tuan rumah. Memburukkan lagi keadaan, Brazil tersingkir di peringkat kumpulan dalam saingan Copa America Centenario, Jun lalu.

Neymar sekali lagi menerima tekanan apabila menjadi sandaran negaranya untuk meraih emas pertama Sukan Olimpik. – AP
Neymar sekali lagi menerima tekanan apabila menjadi sandaran negaranya untuk meraih emas pertama Sukan Olimpik. – AP

Anak emas, Neymar kini tidak boleh gagal lagi. Cedera tulang belakang pada penghujung perlawanan suku akhir menentang Colombia menyaksikan Brazil turun tanpa kelibat bintang sensasi mereka itu ketika menentang Jerman, dua tahun lalu.

Menerusi perjanjian antara Barcelona dan Persekutuan Bola Sepak Brazil, Neymar tidak disenaraikan pada kempen Copa America – yang menyaksikan jurulatihnya, Dunga dipecat buat kali kedua – bagi memastikan dia benar-benar cergas untuk saingan Olimpik.

Rogerio Micale diberi tanggungjawab sebagai jurulatih selepas membawa skuad muda Brazil mara ke final Piala Dunia bawah 20 tahun, tahun lalu menjangkakan Neymar bakal menyinar bagi membantu pasukan. – AFP