Neymar, Suarez kerjakan BATE

Neymar, Suarez kerjakan BATE

BARCELONA, 5 Nov (AFP) – Neymar menjaringkan gol dua kali ketika juara bertahan Barcelona hampir-hampir menempah kedudukan dalam 16 pusingan terakhir Liga Juara-Juara dengan kemenangan 3-0 ke atas BATE Borisov semalam.

Pemain Brazil itu membuka jaringan daripada tempat penalti sebelum bergabung dengan Luis Suarez untuk menambah kelebihan pasukan tuan rumah. Suarez seterusnya membalas dengan jaringan kedua.

Pasangan penyerang Amerika Selatan itu telah menjaringkan 18 daripada 21 gol terakhir Barca dalam kesemua pertandingan tanpa kehadiran Lionel Messi.

“Saya berasa amat gembira dengan corak permainan kami. Kami melakukan apa yang perlu dilakukan dan mendapat gol yang diperlukan,” Neymar berkata kepada beIN Sport. “Adalah jelas kami merindui Messi, namun saya berada dalam tahap terbaik dalam perlawanan dan saya berharap dapat berterusan seperti ini.”

Bagaimanapun, terdapat satu lagi tamparan untuk pemain Luis Enrique apabila Ivan Rakitic berjalan keluar dengan masalah buku lali yang mungkin menyebabkannya tidak dapat menyertai kunjungan ke Real Madrid akhir bulan ini.

Neymar (kiri) dan Suarez meraikan jaringan semasa menentang Bate Borisov di stadium Camp Nou di Barcelona, semalam. – Reuters
Neymar (kiri) dan Suarez meraikan jaringan semasa menentang Bate Borisov di stadium Camp Nou di Barcelona, semalam. – Reuters

“Ia bukan satu situasi yang baik apabila seorang pemain mengalami kecederaan,” kata bos Barca Luis Enrique. “Kami sedang menunggu berita daripada doktor, tetapi dia pastinya tidak akan mengambil bahagian dalam perlawanan seterusnya.”

Kemenangan ini memperkukuhkan kedudukan Barcelona dalam Kumpulan E, lima mata di depan Roma, yang menewaskan Bayer Leverkusen 3-2 dalam perlawanan lain dalam kumpulan semalam.

Sebelum perlawanan bermula, Barca menunjukkan kemarahan mereka kepada denda UEFA kerana mengibarkan bendera menyokong kemerdekaan Catalan dalam aksi Liga Juara-Juara terakhir mereka menentang Leverkusen.

Kira-kira 30,000 bendera diberikan kepada peminat oleh pekempen pro-kemerdekaan dan satu kain rentang besar menyatakan ‘respecte’ (hormat dalam bahasa Catalan) digantung dari tempat duduk.

ARTIKEL YANG SAMA