Neymar, Suarez selamatkan Barca

Neymar, Suarez selamatkan Barca

MADRID, 1 Nov (Reuters) – Barcelona mengalahkan Getafe dengan gol 2-0 dalam saingan La Liga di Stadium Coliseum Alfonso Perez, Madrid, semalam.

Dengan kemenangan ini, Barcelona menyamai kedudukan dengan Real Madrid dari segi kutipan mata (24 mata). Namun, Madrid masih berada di puncak liga kerana perbezaan gol. Masih terdapat 28 baki perlawanan dalam La Liga.

Gol skuad bimbingan Luis Enrique ini diperolehi melalui Luis Suarez pada minit ke-37 dan Neymar pada minit ke-58.

Gol ini sekali gus menjadikan Neymar sebagai pendahulu pemain yang mencatatkan gol terbanyak dalam La Liga musim ini.

Dia mengumpulkan sembilan gol, mendahului penjaring terbanyak La Liga musim lalu, Cristiano Ronaldo dan Suarez yang masing-masing mencatatkan lapan gol. Namun Suarez telah pun merekodkan gol ke-300 sepanjang kariernya baik di peringkat kelab dan negara. Setakat ini, dia sudah bermain dalam 501 pertandingan.

Luis Suarez (kiri) merembat masuk bola ke pintu gawang Getafe CF di Stadium Coliseum Alfonso Perez di Getafe pada 31 Oktober 2015. – AFP
Luis Suarez (kiri) merembat masuk bola ke pintu gawang Getafe CF di Stadium Coliseum Alfonso Perez di Getafe pada 31 Oktober 2015. – AFP

Suarez menyumbang gol pembukaan setelah menerima tendangan rakannya, Sergi Roberto lapan minit sebelum separuh masa pertama berakhir.

Walaupun diasak pemain lawan, penyerang Uruguay ini mampu melepaskan tendangan ke sudut sempit gawang Vicente Guanita.

Roberto kembali memainkan peranannya dalam gol kedua Barcelona pada minit ke-58. Kali ini dia melepaskan umpan lambung dari sebelah kanan dan disambut oleh Neymar yang melakukan penyudah gol dengan kaki kiri.

Guanita tidak menunjukkan reaksi ketika bola masuk ke gawangnya. Barcelona memperlahankan rentak permainan setelah gol Neymar. Bagaimanapun, mereka tetap mendominasi penguasaan bola. Pertandingan berakhir dengan kemenangan 2-0 untuk Barcelona.