NFABD akan adakan kursus pengurusan

NFABD akan adakan kursus pengurusan

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Mei – Kursus Pengurusan Kelab akan diadakan oleh NFABD dalam sedikit masa lagi untuk membantu kelab-kelab bola sepak di negara ini mengendali dan menguruskan kelab masing-masing.

Timbalan Presiden NFABD, Yang Dimuliakan Pehin Datu Inderasugara Brigadier Jeneral (B) Dato Paduka Mohammad Yusof bin Abu Bakar menegaskan bahawa NFABD sentiasa berusaha dan bergiat aktif secara berterusan dalam meningkatkan kualiti permainan bolasepak dari semua aspek, sama ada dari segi permainan di perlawanan bolasepak mahupun dari segi pengadilan perlawanan.

Berucap semasa Majlis Penutupan Kursus Asas Menjaga Gawang FIFA pagi ini, beliau turut mengatakan bahawa usaha-usaha untuk mengadakan latihan dan kursus berkenaan akan sentiasa dijalankan dan diadakan dari semasa ke semasa, di bawah sokongan penuh dan galakan dari FIFA dan AFC.

Pada majlis di NFABD House berkenaan, Yang Dimuliakan Pehin telah berkesudian untuk menyempurnakan majlis penyampaian sijil kepada seramai 23 orang peserta yang telah menghadiri kursus 5-8 Mei berkenaan.

Para peserta kursus berkenaan terdiri daripada 13 orang dari Daerah Brunei & Muara, dua dari Daerah Tutong, dua dari Daerah Temburong, lima dari Kementerian Pendidikan dan seorang dari Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Peserta Kursus Asas Menjaga Gawang FIFA bergambar bersama tetamu kehormat (lima kanan), Instruktor FIFA (tengah) dan Exco NFABD.
Peserta Kursus Asas Menjaga Gawang FIFA bergambar bersama tetamu kehormat (lima kanan), Instruktor FIFA (tengah) dan Exco NFABD.

Menyentuh mengenai kursus yang turut disertai beberapa orang bekas penjaga gol kebangsaan itu, Yang Dimuliakan Pehin menyatakan harapannya supaya semua peserta akan dapat menggunakan pengetahuan yang telah diperolehi dari kursus itu dalam melatih dan meningkatkan lagi mutu permainan terutama bagi penjaga-penjaga gol muda.

Pada majlis itu Yang Dimuliakan Pehin telah turut menyampaikan cenderahati kenangan kepada pemudahcara kursus iaitu Instruktor FIFA, Haroon Amur Hamed Al-Bartamani dari Kesultanan Oman, yang kemudiannya membalas dengan menghadiahkan sepasang jersi kebangsaan bolasepak Kesultanan Oman kepada Yang Dimuliakan Pehin.

Haroon dalam temubual bersama media menyatakan bahawa “Jika kita memerlukan pemain bagus, kita perlu memiliki jurulatih bagus terlebih dahulu”, dan kemudiannya menekankan kepentingan kursus seumpamanya ke arah melahirkan jurulatih yang bagus.

Penjaga gol lagenda Brunei Darussalam iaitu Ibrahim bin Haji Abu Bakar (penjaga gol semasa pasukan kebangsaan menjulang Piala Malaysia 1999) ketika ditemubual mengatakan kursus berkenaan mendatangkan banyak faedah buat negara kerana melaluinya negara dapat memperbaiki struktur pemilihan dan latihan penjaga gol dari peringkat kanak-kanak. Menerusi pembinaan struktur pemilihan dan latihan yang tersusun lagi berkesan di setiap kumpulan umur sehingga mereka mencapai tahap kebangsaan dan kemudiannya profesional, tidak mustahil negara akan berjaya melahirkan penjaga gol bertaraf dunia di masa akan datang, tambahnya.

Seorang lagi peserta iaitu Admirulrizal bin Arbi mendapati kursus itu sangat berguna dalam perkembangan kejurulatihannya, maka dia menyeru semua jurulatih supaya menyertai kursus kejurulatihan anjuran NFABD di masa akan datang kerana ia adalah bagi membantu dan memajukan, bukan saja jurulatih tetapi akan turut memberi kesan kepada pemain juga.

Turut hadir ke majlis itu ialah Setiausaha Agung NFABD, Haji Zamri bin Dato Paduka Haji Hamdani, Pengarah Teknikal NFABD, Mike Wong, Ketua Jabatan Pengadil NFABD, Awang Tamat bin Budin dan EXCO NFABD yang lain.

ARTIKEL YANG SAMA