NFABD B-19 sahut cabaran

NFABD B-19 sahut cabaran

Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Ogos – Pasukan Bawah 19 Tahun Brunei Darussalam (NFABD B-19) kini berada di Laos untuk menyertai Kejohanan Belia B-19 AFF (Persekutuan Bola Sepak ASEAN) 2015 yang akan berlangsung dari 22 Ogos hingga 4 September.

Skuad Tebuan Muda B-19 seramai 23 pemain berserta enam orang pegawai yang diketuai oleh Ketua Jabatan Pengadil NFABD, Awang Tamat bin Budin telah berlepas ke Laos hari ini.

Hadir ke Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat jalan kepada rombongan ialah Timbalan Presiden NFABD, Pehin Datu Inderasugara Brigadier Jeneral (B) Dato Paduka Haji Mohammad Yusof bin Abu Bakar.

Hadir sama ialah Setiausaha Agung NFABD, Haji Muhammad Zamri bin Dato Paduka Haji Hamdani dan EXCO NFABD, Haji Abdul Razak bin Haji Ibrahim.

NFABD B-19 akan bersaing dengan Laos, Kemboja, Filipina dan Thailand dalam Kumpulan A Kejohanan Belia B-19 AFF 2015 di Laos.
NFABD B-19 akan bersaing dengan Laos, Kemboja, Filipina dan Thailand dalam Kumpulan A Kejohanan Belia B-19 AFF 2015 di Laos.

Brunei Darussalam diundi bersama tuan rumah, Laos, Kemboja, Filipina dan Thailand dalam Kumpulan A. Perlawanan pertama pasukan negara adalah menentang Filipina pada 22 Ogos ini di Stadium Lanexang, Vientiane.

Anak buah Kwon Oh Son (Ketua Jurulatih NFABD B-19) akan turun menentang Kemboja pada 24 Ogos di stadium yang sama. Dua hari kemudian, pasukan negara akan berdepan dengan Laos di Stadium Kebangsaan Laos, Vientiane.

Perlawanan terakhir peringkat kumpulan NFABD B-19 ialah menentang Thailand pada 28 Ogos di Stadium Lanexang bermula jam 6 petang waktu tempatan.

Pasukan yang berada di dalam Kumpulan B pula ialah Vietnam, Myanmar, Singapura, Timor Leste dan Malaysia.

Hanya dua pasukan teratas setiap kumpulan layak meneruskan persaingan ke peringkat separuh akhir pada 2 September nanti.