NFABD, Politeknik Brunei meterai MOU

NFABD, Politeknik Brunei meterai MOU

Oleh Pengiran Fairol RMF

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Nov – Persatuan Bola Sepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NFABD) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Politeknik Brunei bagi menyumbangkan kepakaran dan sumber-sumbernya melalui program latihan bola sepak dan futsal di institusi pengajian tinggi berkenaan.

Berangkat menyaksikan majlis menandatangani MoU di Bangunan NFABD ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Presiden NFABD.

Turut hadir ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman dan Timbalan Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar.

Menandatangani MoU bagi pihak NFABD ialah Pemangku Timbalan Presiden NFABD, Haji Madli bin Haji Mohd Yusof dan Setiausaha Agung NFABD, Haji Mohd Zamri bin Dato Paduka Haji Hamdani.

Manakala Politeknik Brunei diwakili oleh Pemangku Pengarahnya, Awang Denis Ho Mun Tai dan Pemangku Timbalan Pengarah, Awang Alias bin Haji Abu Bakar.

Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Bendahara berkenan menyaksikan wakil NFABD dan Politeknik Brunei bertukar-tukar dokumen pada majlis berkenaan.
Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Bendahara berkenan menyaksikan wakil NFABD dan Politeknik Brunei bertukar-tukar dokumen pada majlis berkenaan.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara berkenan bergambar ramai selepas NFABD dan Politeknik Brunei menandatangani MoU, kelmarin.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara berkenan bergambar ramai selepas NFABD dan Politeknik Brunei menandatangani MoU, kelmarin.

Dalam ucapannya, Awang Denis berkata, kolaborasi yang julung-julung kalinya ini adalah sebagai menyahut saranan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada Majlis Konvokesyen ke-27 Universiti Brunei Darussalam, yang antaranya menghasratkan jalinan usaha sama antara pihak-pihak kerajaan dan bukan kerajaan dalam melaksanakan pelbagai aktiviti dan program yang dapat memberikan keberhasilan matlamat bersama.

“Program pertama akan dijalankan daripada hasil usaha sama ini ialah Program Bersijil Kursus Pengadilan Bola Sepak dan Futsal yang akan diikuti oleh seramai 30 orang pelajar Politeknik Brunei.

“Program intensif yang akan berlangsung selama lima hari ini akan menggabungkan teori asas pengadilan bola sepak dan futsal, dan juga aspek-aspek praktikal pengadilan yang akan dikendalikan oleh para pegawai bertauliah NFABD,” jelas beliau.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, menerusi kursus pengadilan berkenaan, para pelajar akan didedahkan dengan aspek teori dan praktikal mengenai pengadilan bola sepak dan futsal.

Program ini akan ditawarkan setiap semester di samping pelbagai program berkaitan lain yang sedang dirancang.

Menurut kenyataan itu lagi, Modul Pengayaan di Pusat Pembangunan Pelajar dan Inovasi (CSDI) merupakan modul wajib di mana para pelajar digalakkan untuk menyertai dan terlibat dalam pelbagai program kokurikulum dan aktiviti yang boleh meningkatkan kemahiran serta kecekapan yang akan memperkayakan hidup mereka.

Modul tersebut mempunyai empat program utama iaitu Pembangunan Kepimpinan, Pembangunan Individu, Pembangunan Kokurikulum dan Penglibatan Sivik serta Tanggungjawab Sosial.

Sukan adalah sebahagian daripada program pembangunan kokurikulum di mana pelajar digalakkan untuk menyertai program yang boleh membangun kemahiran dan bakat.

ARTIKEL YANG SAMA