NFABD serius bentuk pasukan mantap

NFABD serius bentuk pasukan mantap

MERUJUK kepada e-mel daripada “Pemerhati Bola Sepak Belia” dari BSB yang bertajuk “Apa sudah jadi?” dalam akhbar Media Permata keluaran Isnin, 15 Ogos 2016, terlebih dahulu bagi pihak NFABD mengucapkan terima kasih atas pemerhatian beliau terhadap pembangunan sukan bola sepak tanah air.

Festival Bola Sepak Serantau AFC Bawah 14 Tahun telah diadakan di Bandar Seri Begawan dan Kejohanan Belia AFF Bawah 16 Tahun 2016 (bukannya Bawah 14 tahun) telah diadakan di Phnom Penh, Kemboja (bukannya di Vietnam).

Dalam kedua-dua acara ini negara diwakili oleh Pasukan Pembangunan Bola Sepak Belia Kebangsaan yang dilatih secara berstruktur dan berterusan. Ini adalah sebahagian daripada usaha dalam menyediakan asas yang kukuh bagi penubuhan pasukan kebangsaan yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Festival Bola Sepak Serantau AFC Bawah 14 Tahun adalah lebih memfokuskan kepada memperkembangkan kemahiran bola sepak serta fair play dan ia bukan berbentuk pertandingan walaupun setiap pasukan mahukan kemenangan.

Prestasi pasukan negara dalam acara ini telah menampakkan peningkatan yang positif di mana perbezaan jaringan bertambah baik iaitu pada acara 2015 mencatat perbezaan jaringan -17 berbanding pada acara 2016 mencatat perbezaan jaringan -10 dan satu keputusan seri.

Pada Kejohanan Belia AFF Bawah 16 Tahun 2016 juga mampu menambah baik perbezaan jaringan berbanding kejohanan 2013 dan 2015. Pada tahun 2015 dan 2016, pasukan negara mampu mengekang lawan dengan perbezaan jaringan -10 sahaja berbanding -43 pada tahun 2013. Pada tahun ini juga pasukan negara mampu menunjukkan persembahan terbaiknya apabila hanya tewas 0-1 kepada pasukan digeruni dan juga juara bertahan iaitu Thailand.

Sebagaimana juga negara-negara lain, pembangunan bola sepak ini akan mengambil masa yang panjang sekurang-kurangnya 10 tahun. Dengan menyertakan pasukan pembangunan bola sepak belia ke acara-acara serantau dan antarabangsa, pasukan kebangsaan akan lebih bersedia dan lebih mampu bersaing dalam masa 10 tahun akan datang. Ini adalah perancangan jangka masa panjang NFABD bagi membentuk pasukan kebangsaan yang mantap.

Tiada jalan pintas dalam pembangunan bola sepak. Untuk membentuk asas terbaik bagi pasukan kebangsaan yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa, program pembangunan bola sepak belia adalah mustahak untuk diatur dengan rapi. Oleh itu NFABD telah mewujudkan pasukan belia bawah 13 tahun, bawah 14 tahun, bawah 15 tahun, bawah 17 tahun dan bawah 21 tahun.

Pasukan-pasukan ini adalah dipantau dan dibimbing oleh tenaga kejurulatihan tempatan dan luar negara yang bertauliah dan berpengalaman. Pendedahan awal sama ada di dalam dan di luar negeri, liga belia tempatan yang unggul, dan kejurulatihan yang terarah juga adalah antara faktor-faktor utama dalam pembangunan bola sepak.

Mengikut garis pandu FIFA (Fédération Internationale de Football Association) dan AFC (Asian Football Confederation) dalam program pembangunan bola sepak, negara ini telah mula melaksanakan program yang dimaksudkan hanya pada dua tahun yang lepas dan memerlukan masa untuk mencatat kejayaan yang sama-sama diharapkan.

Di samping itu, sokongan padu yang berterusan daripada pihak-pihak yang berkepentingan yakni ‘stakeholders’ dan peminat-peminat bola sepak tanah air juga dapat membantu kejayaan program ini.

NFABD sentiasa mengalu-alukan saranan dan pendapat orang ramai demi untuk kebaikan bola sepak negara. Persatuan Bola Sepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, NFABD House, Bandar Seri Begawan

ARTIKEL YANG SAMA