NFT raih kemenangan pertama

NFT raih kemenangan pertama

Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Julai – NFT mencatat kemenangan pertamanya dalam kancah Liga Super Futsal Takaful Brunei 2016 selepas mengejutkan Pega Star FC 3-1 di perlawanan kelimanya.

Pasukan yang dibarisi pemain muda berusia 19 tahun dan ke bawah yang sangat berharap terpilih menyarung jersi kebangsaan Bawah 20 Tahun (B-20) mewakili negara ke pusingan Kelayakan Kejohanan Futsal Remaja B-20 AFC Kali Pertama, 2017 itu sudah mendahului 2-0 enam minit selepas sepak mula.

Muqri Maidin membuka tirai jaringan pada minit ke-6 sebelum segera ditambah rakannya, Muhammad Wafiuddin beberapa saat kemudian bagi permulaan cemerlang NFT dalam usahanya memutar badi empat kekalahan berturut-turut sebelum ini.

Jaringan itu merupakan yang keempat buat Muhammad Wafiuddin setelah NFT mengharungi lima perlawanan sementara buat Muqri ia merupakan jaringan pertamanya buat NFT.

Walau bagaimanapun Pega Star FC sempat mencantas pendahuluan dua gol NFT itu kepada hanya satu ketika aksi separuh masa pertama berbaki tiga minit menerusi jaringan Awangku Mohd Azizul Hakim. Jaringan itu merupakan ledakan keempatnya musim ini sekaligus meletakkannya sebaris dengan rakannya, Abdul Badri Izdihar selaku penjaring terbanyak Pega Star FC setakat ini.

NFT mengejutkan Pega Star FC 3-1 untuk me-ngutip tiga mata pertamanya dalam kancah Liga Super Futsal Takaful Brunei 2016.
NFT mengejutkan Pega Star FC 3-1 untuk me-ngutip tiga mata pertamanya dalam kancah Liga Super Futsal Takaful Brunei 2016.

Separuh masa kedua berlangsung menarik dengan Pega Star FC berusaha mendapatkan gol penyamaan, manakala NFT cuba mempertahankan pendahuluannya sambil berusaha menghasilkan gol tambahan bagi menjamin laluan kemenangan pertamanya.

Ternyata perlawanan di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu memihak NFT apabila Mohd Abdul Zulfadli Abdullah meledakkan gol keempatnya musim ini bagi gol ketiga NFT hanya dua minit sebelum perlawanan tamat.

Ternyata gol itu berjaya menghapus saki baki semangat kebangkitan Pega Star FC sekaligus memuktamadkan keputusan kemenangan berharga 3-1 yang menghadiahkannya tiga mata penting, bekal berharga mempertingkat keyakinan para pemain remaja NFT dalam mengharungi enam baki perlawanannya musim ini.

Sementara aksi awal menyaksikan Rizfiz FT berjaya menundukkan Street United FT 3-2 selepas mendahului 2-1 pada babak pertama menerusi jaringan Amalul Arif pada minit ke-6 dan Ahmad Muhazzib pada minit ke-14. Md Abdul Hafiy menjaringkan gol Street United FT pada minit ke-7.

Zulhirni menjadikan kedudukan 3-1 empat minit selepas rehat, manakala Street United FT sempat menambah satu lagi jaringan seminit sebelum perlawanan berakhir menerusi jaringan Mahyudin untuk kedudukan muktamad 3-2 memihat Rizfiz FT.

Dengan dua keputusan itu, Rizfiz FT naik ke tangga ke-6 dengan sembilan mata dari lima perlawanan sementara Street United FT jatuh ke tangga ke-7 dengan enam mata, juga dari lima permainan.

NFT pula memanjat ke tangga ke-9 dengan tiga mata dari lima perlawanan, memintas First Five FT yang jatuh ke tangga ke-10, juga mengumpul tiga mata dari lima permainan. NFT memiliki kelebihan -9 perbezaan gol (18 jaringan & 27 bolos) berbanding -10 (16 jaringan & 26 bolos) buat First Five FT.

Liga Super Futsal Takaful Brunei 2016 akan diteruskan pada Ahad, 17 Julai ini dengan tiga perlawanan iaitu MS ABDB lawan Arbsiyam FC pada pukul 10 pagi, Rizfiz FT lawan Shah United FC pada pukul 2 petang dan NFT bertemu BIO FT pada pukul 4 petang. Semua perlawanan berlangsung di Dewan Serbaguna, KSNHB.

ARTIKEL YANG SAMA