NFT tewas di tangan naib juara

NFT tewas di tangan naib juara

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Mei – NFT U19 mendapat pelajaran terbaik dalam kancah liga futsal kebangsaan malam tadi sebagai persiapannya menghadapi kejohanan peringkat serantau dalam masa terdekat dengan catatan tewas 3-7 kepada naib juara musim lalu, Shah United FC.

Bermula agak goyah di perlawanan pertamanya dalam Liga Super Futsal Brunei Takaful 2016 semalam sehingga menyebabkannya berjaya dibolosi dua kali dalam tempoh lima minit pertama separuh masa pertama sebelum dibolosi dua kali lagi masing-masing pada minit ke-12 dan 13, menyebabkannya ketinggalan 0-4.

Awangku Asrul membuka tirai jaringan Shah United FC pada minit ke-2 sebelum ditambah Mohd Ikmal tiga minit kemudian. Selepas itu Abdul Muiz mencetak dua jaringan berturut-turut dalam tempoh seminit untuk Shah United FC selesa mendahului 4-0.

NFT U19 seakan terjaga daripada tidur apabila mula mendapat rentaknya selepas dibolosi empat kali sehingga akhirnya berjaya mendapatkan gol pertamanya pada minit ke-15 menerusi rembatan Mohd Azirol untuk menamatkan babak pertama ketinggalan 1-4.

NFT U19 meneruskan momentum baiknya selepas rehat sehingga menyaksikan Awangku Mohd Azim berjaya berada dalam posisi 1-Lawan-1 dengan penjaga gol Shah United FC pada minit ke-23 dan disebalik umur mudanya dia tenang merembat bola menggegar gawang lawan untuk merapatkan jurang kedudukan kepada 2-4.

Antara aksi pemain para perlawanan tersebut.
Antara aksi pemain para perlawanan tersebut.

Namun kesilapan taktik pertahanannya yang sering lalai melepaskan pemain lawan berada di belakang mereka mengundang padah sehingga menyebabkan Shah United FC dapat menghasilkan tiga gol berturut-turut masing-masing pada minit ke-25, 28 dan 30 sekaligus jauh mendahului 7-2.

Keadaan dilihat semakin parah buat NFT U19 apabila salah seorang pemainnya dilayangkan kad merah kerana sengaja memegang bola yang melepasi kepalanya ketika perlawanan berbaki dua minit, namun sebaliknya pula yang berlaku.

Kurang seorang pemain, NFT U19 kelihatan lebih teratur bertahan walaupun Shah United FC menggunakan taktik ‘power play’ (bermain lima orang di kawasan lawan dengan penjaga gol naik melepasi kawasan tengah sendiri) dalam usahanya mendapatkan gol tambahan.

Tiada siapa menduga NFT U19 pula yang mendapat gol tambahan ketika bermain hanya dengan empat orang, dan lebih mengejutkan lagi gol mereka hadir daripada sepakan penjaga golnya, Muhd Nassaruddin dari dalam petaknya sendiri, selepas dia berjaya menangkap kemas percubaan pemain lawan.

Gol yang hadir pada minit ke-39 itu menjadi gol terakhir perlawanan sekaligus memuktamadkan keputusan 7-3 memihak Shah United FC.

ARTIKEL YANG SAMA