NGO bantu SPRM banteras rasuah

NGO bantu SPRM banteras rasuah

TAWAU, 3 Dis (Bernama) – Badan bukan kerajaan (NGO) boleh memainkan peranan dalam usaha membanteras rasuah seperti menerangkan kepada masyarakat tentang kegiatan dan kesan akibat rasuah.

Penolong Kanan Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tawau, Mohd Yusof Awang Lah berkata pihaknya sentiasa mengalu-alukan serta memberi peluang kepada NGO yang ingin bekerjasama dengan SPRM dalam menganjurkan pelbagai program berkaitan rasuah.

Beliau berkata penganjuran Konvoi Kembara Anti Rasuah peringkat negeri Sabah 2015 bersama-sama Sabah Big Bikers Association (SBBA) kali ini menunjukkan peranan NGO dalam memberikan sokongan sebagai usaha membanteras rasuah.

“Konvoi ini dibuat sempena Hari Anti Rasuah Antarabangsa yang akan disambut pada 9 Disember ini bertujuan memerangi rasuah dengan menyampaikan maklumat kepada masyarakat tentang kesengsaraan yang terpaksa ditanggung akibat jenayah rasuah,” katanya selepas melepaskan konvoi berkenaan di pekarangan Majlis Perbandaran Tawau di sini hari ini.

Konvoi yang disertai 32 buah motosikal berkuasa tinggi dari SBBA dan SPRM itu berlangsung selama empat hari sejak Isnin lepas, bermula dari Kota Kinabalu dan melalui beberapa daerah terpilih seperti Kota Belud, Kudat, Lahad Datu, Tawau dan Sandakan.