NGO, sukarelawan dan korporat perlu bantu kerajaan tangani isu sosial

NGO, sukarelawan dan korporat perlu bantu kerajaan tangani isu sosial

KOTA KINABALU, 20 Sept (Bernama) – Kerajaan memerlukan badan bukan kerajaan (NGO), persatuan sukarelawan dan sektor korporat memberi kerjasama menyeluruh dalam usahanya menangani isu-isu sosial di peringkat akar umbi, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Azizah Mohd Dun.

“Pembangunan komuniti dan kebajikan masyarakat bukan sahaja tanggungjawab kerajaan semata-mata, sebaliknya amalan permuafakatan dan jalinan perkongsian bersama NGO, sukarelawan dan sektor korporat harus diberi penekanan.

“Ini adalah selaras dengan konsep kebajikan tanggungjawab bersama,” katanya ketika berucap merasmikan program ‘Volunteer Speak Up’ di sini malam tadi.

Program kesukarelawan itu, anjuran kementerian dengan kerjasama Institut Sosial Malaysia, diadakan buat julung kalinya di Sabah.

Antara yang menyertainya ialah Sukarelawan Yayasan Sabah, Sabah Cheshire Home, Persatuan Pesara Kerajaan Sabah dan Persatuan Usahawan Industri Kecil Sederhana Wanita Bumiputera Sabah.

Azizah berkata kerajaan juga sentiasa memberi sokongan kepada NGO untuk menjalankan aktiviti meningkatkan kesejahteraan keluarga, kanak-kanak, warga emas, orang kurang upaya dan golongan lain yang memerlukan.

“Agenda Pembangunan Sosial Negara mementingkan kebajikan rakyat berteraskan sistem kekeluargaan, kesukarelawan dan tindakan bersama yang mantap,” katanya.