Niaga hadapan emas dijangka RM153-RM160 segram minggu depan

Niaga hadapan emas dijangka RM153-RM160 segram minggu depan

KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) – Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatif, yang dijangka kekal rendah minggu depan, mungkin diniagakan antara RM153 dan RM160 segram bagi kontrak bulan semerta.

Peniaga Phillip Futures Sdn Bhd, Azim Faris Ab Rahim berkata unjuran itu berdasarkan ringgit yang mungkin diniagakan antara 3.95 dan 4.05 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), serta dagangan harga hadapan emas di Bursa Komoditi New York (COMEX) pada AS$1,200 hingga AS$1,240 bagi setiap auns troy.

“Kami menjangkakan harga emas Bursa kekal lemah minggu depan berikutan ringgit yang mengukuh, manakala dolar AS yang tinggi menyebabkan harga emas COMEX mengalami tekanan,” katanya kepada Bernama.

Bagi minggu yang baru berakhir, logam berharga itu mencatatkan penurunan minggu ketiga berturut-turut, susut 5.65 peratus berbanding penutup minggu sebelumnya.

Mengikut Jumaat ke Jumaat, bulan semerta Mac 2016 turun 9.25 mata kepada RM154.50 segram, manakala April 2016, Mei 2016 dan Jun 2016 masing-masing susut sembilan mata kepada RM155.00, RM155.25 dan RM155.50 segram.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 241 lot bernilai RM3.85 juta berbanding 200 lot bernilai RM2.95 juta Jumaat lepas.

Kepentingan terbuka berkurangan kepada 623 kontrak daripada 662 kontrak sebelumnya.

ARTIKEL YANG SAMA