Niaga hadapan KLCI dijangka kukuh minggu depan

Niaga hadapan KLCI dijangka kukuh minggu depan

KUALA LUMPUR, 17 Julai – Kontrak niaga hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) di Bursa Malaysia Derivatif dijangka kukuh minggu depan setelah pendasar pasaran tunai diunjur diniagakan tinggi.

Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata indeks bersedia untuk naik dan terus mengukuh sekiranya ringgit dan komoditi terus meningkat.

Beliau berkata ekonomi kekal dapat mencatatkan pertumbuhan kukuh dan ini dapat dilihat dengan hasil tiga tahun bon Malaysia yang susut ke paras terendahnya sejak 2009 serta pengukuhan ringgit yang mencecah paras tinggi dalam 10 minggu berbanding dolar Amerika.

Sementara itu, firma penyelidikan, RHB Research, dalam nota penyelidikannya menjangka paras halangan segera pada 1,663 mata, yang hampir paras tinggi pada 4 Julai dan 14 Julai, katanya.

Bagi minggu yang baru berakhir, pasaran niaga hadapan kebanyakannya tinggi dengan peningkatan sokongan belian.

Kontrak semerta Julai 2016 meningkat 25 mata kepada 1,668, Ogos 2016 naik 24 mata kepada 1,664, September 2016 menambah 24.5 mata kepada 1,658.5 manakala Disember 2016 menokok 23 mata kepada 1,645.

Jumlah dagangan mingguan bertambah kepada 40,717 lot daripada 15,688 lot pada minggu lepas manakala kepen-tingan terbuka meningkat kepada 42,157 kontrak daripada 41,307 kontrak sebelumnya.

Penanda aras FBM KLCI berakhir pada 1,668.4, naik 13.62 mata, daripada 1,644.54 yang dicatatkan Jumaat lepas. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA