NiAT hos lawatan pelajar MTSSR ke TES

NiAT hos lawatan pelajar MTSSR ke TES

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Feb – Pembekal perkhidmatan komunikasi satelit tempatan, Network Integrity Assurance Technologies Sdn Bhd (NiAT), kelmarin telah menghoskan lawatan lapangan kira-kira 40 pelajar dari Maktab Teknik Sultan Saiful Rijal (MTSSR) ke Stesen Bumi Telisai (TES).

Menurut kenyataan NiAT, lawatan itu berobjektif untuk memberikan pengalaman praktikal dan tetapan masa sebenar mengenai pembekal perkhidmatan komunikasi satelit kepada para pelajar yang merupakan pelajar Tahun 1 dan 2 Diploma BDTVEC dalam Kejuruteraan Elektronik dan Komunikasi.

Lawatan telah dimulakan dengan ucapan alu-aluan dan pembentangan oleh Pegawai Pembangunan Perniagaan NiAT, Awang Mohd Yamin bin Abdul Hamin yang menyentuh mengenai permulaan perkhidmatan di luar dunia ini dan bagaimana NiAT menjadi orang depan untuk mewakili Brunei.

Katanya, zaman angkasa lepas bermula pada 1957 apabila Kesatuan Soviet melancarkan satelit buatan pertama ke orbit, bagaimanapun setelah satelit pertama yang digunakan bagi tujuan komunikasi pada 1975 barulah industri pasaran paling canggih bermula.

“Kini, 40 tahun kemudian, terdapat lebih 3,000 satelit yang mengelilingi dunia.

Wakil NiAT dan para pelajar MTSSR bergambar ramai di bawah sebuah antena di TES.
Wakil NiAT dan para pelajar MTSSR bergambar ramai di bawah sebuah antena di TES.

“Ini membuktikan bagaimana permintaan bagi perhubungan satelit telah jauh berganda dan permintaannya masih tinggi sehingga kini,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, apabila TES dibina dalam tahun 1979 pada kos $14.6 juta, ia hanya mempunyai empat antena untuk menerima video namun kini ia telah dipertingkatkan dengan penubuhan NiAT untuk menempatkan lebih 15 jenis cakera satelit bagi penggunaan lain seperti suara dan data.

“Kami memenuhi permintaan besar bagi pasaran Brunei dan kami terus berkembang dan menjemput belia untuk berusaha di samping kami bagi memulakan ICT sebagai penggerak pertumbuhan ekonomi masa depan di Brunei,” tambah beliau.

Selepas menyaksikan video-video bagaimana perhubungan satelit memainkan peranan dan berjaya menyelesaikan krisis-krisis yang tidak dijangkakan, para pelajar kemudian dibawa melawat sekitar stesen bumi berkenaan dan memahami mengenai Pusat Operasi Rangkaian (NOC) di mana pasukan jurutera tempatan memerhati rangkaian untuk bertindak balas sekali gus membolehkan penyampaian perkhidmatan yang lancar.

Lawatan diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada para pelajar yang menyertai kuiz-kuiz dan menikmati hidangan.

ARTIKEL YANG SAMA