Niat pulang ke Indonesia, berakhir di penjara

Niat pulang ke Indonesia, berakhir di penjara

Oleh Anwar Rosly

BELAIT, 28 April – Niat dua warga Indonesia untuk mendapatkan wang tambahan bagi membeli tiket penerbangan pulang Jun ini berakhir ke dalam penjara apabila mereka dijatuhi hukuman penjara setelah gagal membayar denda berjumlah $87,000 kerana memiliki 238 karton rokok tanpa cukai.

Mahkamah Majistret Kuala Belait, semalam, menjatuhkan hukuman denda $55,000 ke atas Novi Ajar Kalviana, 27, selepas didapati bersalah memiliki 148 karton rokok pelbagai jenama, dengan 130 dalam but dan ruang tayar ganti sebuah kereta dan 18 karton dalam sebuah lagi keretanya.

Defendan dijatuhi 15 bulan penjara bermula semalam setelah memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak mampu untuk membayar denda yang dikenakan.

Manakala itu, Zaenal Arifin, 37, pula dikenakan denda $32,000 atas kesalahan memiliki 90 karton rokok pelbagai jenama dalam but keretanya, namun gagal untuk membayar denda berkenaan dan telah diarahkan untuk dipenjarakan selama setahun.

Kedua-dua mereka ditangkap apabila pegawai-pegawai kastam dari bahagian pencegahan bertindak atas maklumat orang ramai, menggeledah kereta mereka yang diletakkan di Sungai Duhon, Kuala Belait pada jam 7 malam Selasa lalu.

Mereka memberitahu, rokok-rokok berkenaan dibeli daripada seorang rakan yang digelar ‘Ujok’, dengan niat untuk menjualnya di Brunei.

Kedua-duanya sudah berkahwin dan mempunyai anak, dan sebelum ini tinggal bersama-sama di Jalan Nahkoda Manis, Kuala Belait.

ARTIKEL YANG SAMA