NiAT rai bersama anak yatim

NiAT rai bersama anak yatim

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Julai – Pembekal perkhidmatan komunikasi satelit tempatan, Network Integrity Assurance Technologies Sdn Bhd (NiAT), meraikan ulang tahunnya yang ke-5 hari ini dengan majlis membaca Surah Yasin, Tahlil dan Doa Kesyukuran, yang berlangsung di sebuah hotel di Kampung Angerek Desa.

Bersempena dengan bulan Ramadan, majlis berkenaan turut diselajurkan dengan penyampaian sumbangan kepada kira-kira 35 anak yatim dari Mukim Berakas dan majlis berbuka puasa.

Menurut kenyataan NiAT, majlis berkenaan merupakan sebahagian daripada usahanya untuk menunjukkan rasa terima kasih dan penghargaan dengan memberi balik kepada masyarakat, dan bulan Ramadan yang suci ini juga satu peluang untuk berbuat kebajikan.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Yasin dan Tahlil yang dipimpin oleh Haji Abdul Warith bin Haji Raini, diikuti dengan penyampaian sumbangan oleh salah seorang ahli Lembaga Pengarah NiAT, Lim Ming Soon selaku wakil pengerusi NiAT, dan Ketua Pegawai Eksekutif Hajah Dayang Fatimah binti Haji Awang Sirat.

Sumbangan merupakan hasil kutipan daripada NiAT dan kakitangannya, yang termasuk pelbagai barangan seperti peralatan sekolah, paket hijau, jubah serta kain bagi Cara Melayu dan Baju Kurung.

Warga NiAT yang meraikan ulang tahun ke-5 bersama anak-anak yatim.
Warga NiAT yang meraikan ulang tahun ke-5 bersama anak-anak yatim.

Di majlis itu, anak-anak yatim dan para penjaga mereka turut disajikan pelbagai hidangan bufet untuk berbuka puasa.

Pegawai Pembangunan Perniagaan NiAT, Awang Mohd Yamin bin Abdul Hamid berkata, “Kami telah wujud selama lima tahun dan melalui perjalanan yang lancar, tetapi tugas kami belum berakhir kerana kami masih berusaha mencapai matlamat kesalinghubungan sepenuhnya ke semua kawasan terpencil dengan teknologi komunikasi satelit.”

NiAT yang merupakan syarikat subsidiari Telekom Brunei (TelBru), adalah pembekal perkhidmatan komunikasi satelit tempatan yang mempunyai lesen untuk menawarkan telekomunikasi berasaskan satelit, seperti Very Small Aperture Terminal (VSAT) dan produk-produk mobiliti satelit seperti Global Satellite Phone Service (GSPS) dan Broadband Global Area Network (BGAN), yang membolehkan perkhidmatan telefon dan Internet melalui satelit.

ARTIKEL YANG SAMA