NiAT tingkatkan kesedaran teknologi

NiAT tingkatkan kesedaran teknologi

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Nov – Pembekal perkhidmatan komunikasi satelit, Network Integrity Assurance Technologies (NiAT) baru-baru ini mengadakan ceramah di Kem Fizik Tahunan 2015 yang disertai lebih 250 pelajar daripada 30 buah sekolah di dewan serba guna Sekolah Menengah Sayyidina Hasan.

Ceramah mengenai teknologi satelit itu bertujuan meningkatkan kesedaran pelajar mengenai kemajuan dan teknologi komunikasi satelit di Brunei, selain meningkatkan minat pelajar dalam industri alternatif.

Ia disampaikan oleh Ketua Pegawai Teknikal NiAT, Dayang Siti Nuraazzah binti Pehin Dato Haji Abdul Aziz yang menerangkan mengenai permulaan teknologi satelit dengan pelancaran roket ke ruang angkasa bagi menyebarkan panel solarnya dan bergerak ke slot orbit.

Beliau turut menjelaskan fungsi satelit sebagai perantara menghubungkan laman-laman sesawang untuk memastikan kesalinghubungan terus berjalan.

Turut dikongsikan adalah kemajuan dalam teknologi terbaru satelit di China.

Gambar ramai pelajar yang menghadiri Kem Fizik bersama penceramah dari NiAT.
Gambar ramai pelajar yang menghadiri Kem Fizik bersama penceramah dari NiAT.

Jurutera Projek NiAT, Wong Teck Sion turut menyampaikan ceramah mengenai pengalamannya, kepentingan industri itu dan mendedahkan bakat-bakat dalam bidang kejuruteraan komunikasi yang semakin meningkat di dalam negara ini dan menggalakkan pelajar untuk menceburi bidang ICT yang luas peluang pekerjaannya.

Manakala Pegawai Kemajuan Pembangunan NiAT, Awang Mohd Yamin bin Abdul Hamid juga menerangkan bahawa selaras dengan aspirasi kerajaan, ia berhasrat untuk meningkatkan minat pelajar dan ICT dan memastikan warga sekolah celik teknologi.

Menurutnya, rakyat Brunei merupakan pengguna teknologi paling canggih di dunia dan percaya ia harus digunakan untuk mempelbagaikan ekonomi negara.

Ceramah diakhiri dengan penyampaian hadiah dan pemberian beg cenderahati ditaja oleh NiAT kepada para pelajar.

ARTIKEL YANG SAMA