Nicol bermula langkah kanan di Terbuka Amerika

Nicol bermula langkah kanan di Terbuka Amerika

KUALA LUMPUR, 12 Okt – Ratu skuasy Malaysia yang juga pemain nombor dua dunia, Datuk Nicol David membuka kempennya mempertahankan gelaran kejohanan skuasy Terbuka Amerika dengan kemenangan straight set untuk mara ke pusingan kedua.

Dalam perlawanan pembukaannya di kejohanan yang berlangsung di Philadelphia awal pagi tadi, Nicol yang diletakkan sebagai pilihan kedua mudah menjinakkan pemain Hong Kong yang mara daripada pusingan kelayakan, Joey Chan 11-6, 11-9, 11-8.

Nicol yang memburu gelaran ketiganya musim ini akan berdepan pilihan ke-12, Nouran Gohar dari Mesir di pusingan kedua nanti.

Nouran yang juga juara remaja dunia mara ke pusingan kedua selepas menyingkirkan rakan senegaranya, Kazy Emad El Defrawy 11-5, 11-6, 11-7.

Untuk rekod, Nicol telah memenangi dua gelaran tahun ini iaitu Cleveland Classic di Ohio, Amerika Syarikat pada Februari dan Kejohanan Wanita Asia di Kuwait, Mei lepas.

Datuk Nicol David. – Reuters
Datuk Nicol David. – Reuters

Pemain nombor dua negara, Delia Arnold yang menewaskan Nicolette Fernandes dari Guyana dalam perlawanan pertamanya semalam, berdepan tugas berat apabila menantinya di pusingan kedua hari ini ialah pemain nombor empat dunia, Camille Serme dari Perancis.

Malaysia tidak mempunyai wakil lelaki selepas Mohd Nafiizwan Adnan tewas 9-11, 3-11, 7-11 kepada pilihan kelima yang juga juara dunia tiga kali, Ramy Ashour dari Mesir semalam. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA