Nicol dinamakan pemain wanita terbaik majalah Squash Player

Nicol dinamakan pemain wanita terbaik majalah Squash Player

KUALA LUMPUR, 30 Dis – Ratu skuasy Malaysia, Nicol David dinamakan sebagai Pemain Wanita Terbaik bagi Disember dalam edisi Januari 2016 majalah Squash Player yang berpengkalan di London.

Anugerah itu diterima Nicol berikutan kejayaannya menjuarai kejohanan Terbuka Hong Kong untuk kali ke-10 berturut-turut pada bulan ini.

“Menjuarai gelaran di Hong Kong untuk kali ke-10 sangat bermakna bagi saya.

Ini adalah antara kejohanan terbaik pernah saya sertai,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan majalah Squash Player.

Juara dunia lapan kali yang kini menduduki ranking ketiga dunia, menundukkan pencabar utamanya Laura Massaro dari England dengan 15-13, 11-9, 11-3 dalam masa 39 minit di final kejohanan itu.

Sebelum itu, Nicol sudah memenangi kejohanan itu sejak 2006 hingga 2014. – Bernama

Pemain skuasy Malaysia Nicol David dinamakan Pemain Wanita Terbaik oleh majalah Squash Player.
Pemain skuasy Malaysia Nicol David dinamakan Pemain Wanita Terbaik oleh majalah Squash Player.