Nicol jaguh Asia kali ke-9

Nicol jaguh Asia kali ke-9

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) – Ratu skuasy Malaysia dan pemain nombor satu dunia, Nicol David membuktikan keunggulan dengan merangkul gelaran juara Asia buat kali kesembilan pada Kejohanan Skuasy Asia edisi ke-18 di Kuwait.

Bermain sebagai pilihan pertama, Nicol menunjukkan kehebatan dengan hanya mengambil masa 35 minit menewaskan juara bertahan, Annie Au dari Hong Kong 12-10, 11-7, 11-8 dalam perlawanan akhir di Kompleks Skuasy Antarabangsa Sheikh-Salem Al-Sabah di Kuwait, lewat Selasa.

Nicol telah memenangi kejuaraan Asia ini pada 1998, 2000, 2002, 2004, 2006, 2008, 2010 dan 2011.

Kemenangan merangkul trofi kedua tahun ini selepas Cleveland Classic pada Februari, pasti memberikan perangsang baik kepada pemain berusia 31 tahun dari Pulau Pinang ini, untuk mempertahan gelaran Terbuka British di Hull, England, minggu depan.

Leo Au, pemain pilihan keempat bagaimanapun dapat menebus kegagalan kakaknya dengan menewaskan pemain pilihan ketiga, Abdullah Al-Mezayen, peserta tuan rumah, dengan keputusan 11-7, 11-9 dan 13-11 dalam masa 47 minit pada perlawanan akhir lelaki.