Nicol Mampu Tangani Tekanan – Khairy

Nicol Mampu Tangani Tekanan – Khairy

KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) – Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin yakin ratu skuasy Malaysia Datuk Nicol David mampu menangani sebarang tekanan apabila beraksi pada Kejohanan Skuasy Wanita Dunia di sini, bulan depan.

Khairy berkata sebagai pemain profesional, Nicol sudah biasa berdepan saingan dan tekanan di peringkat tertinggi.

“Marilah kita berikan sokongan penuh dan tidak meletakkan tekanan kepada pemain-pemain negara. Saya percaya Nicol juga tidak akan menerima sebarang tekanan daripada sesiapa,” katanya kepada pemberita selepas pengumuman kejohanan berkenaan di sini, Isnin.

Kejohanan itu yang dijangka disertai lebih 50 pemain dari 19 negara, dijadual berlangsung dari 24 hingga 30 April di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil.

Selain Nicol yang kini berada di ranking kedua dunia, Malaysia akan diwakili Delia Arnold and seorang pemain wild card, Low Wee Wern yang juga bekas pemain kelima dunia.

Dalam pada itu, Khairy yakin Nicol, Delia dan Wee Wern akan mempamerkan prestasi terbaik mereka pada kejohanan itu.

“Kita sentiasa berharap yang terbaik untuk semua pemain Malaysia dan tidak perlu meletakkan sebarang tekanan kepada mereka…saya pasti mereka tahu apa perlu dilakukan,” katanya.

Malaysia pernah menjadi tuan rumah kejohanan berprestij itu, yang menawarkan hadiah sebuah kereta jenis Citroen DS4 dan wang tunai US$185,000 pada 2004 dan 2013.

Sementara itu, Wee Wern yang dijadual bertemu pemain New Zealand, Joelle King, berkata beliau lebih yakin beraksi di gelanggang sendiri walaupun sudah lama tidak beraksi ekoran kecederaan lutut.

“Saya bersyukur dapat beraksi di tempat sendiri, perasaan saya berbeza walaupun undian adalah sukar…dengan sokongan padu peminat, saya akan melakukan yang terbaik,” katanya.

Wee Wern yang baru pulih daripada kecederaan selepas berehat selama setahun, berkata beliau kini dalam proses memperbaiki corak permainan dan kejohanan itu adalah platform terbaik baginya untuk kembali ke ranking 10 terbaik dunia.

Nicol pula dijadual berdepan pemain Australia, Rachael Grinham pada pusingan pertama undian utama kejohanan berkenaan.