Nicol tumpas kepada Laura Massaro

Nicol tumpas kepada Laura Massaro

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) – Aksi cemerlang juara lapan kali skuasy wanita dunia, Datuk Nicol Ann David dalam Kejohanan Terbuka Amerika Syarikat 2015 tersekat setelah beliau tumpas kepada pemain England, Laura Massaro, kekalahan kelima beliau bagi tahun ini.

Menurut laman sesawang rasmi kejohanan, www.usopensquash.com, pemain berusia 32 tahun itu tewas 2-3 kepada pemain pilihan kelima itu di separuh masa kedua perlawanan suku akhir.

Perlawanan sengit lima set yang berlangsung di Drexel University, Philadelphia, itu mengambil masa sejam 11 minit.

Nicol, pemain pilihan utama kejohanan, bermula dengan baik dengan menguasai dua set pertama 11-8, 11-4, bagaimanapun Laura bangkit semula di set ketiga dan menang 11-6.

Datuk Nicol Ann David. – Agensi
Datuk Nicol Ann David. – Agensi

Pemain negara itu bagaimanapun nampak kehilangan rentak di set keempat, membolehkan lawannya menyamakan mata dengan 11-8.

Dalam set penentuan, kedua-dua pemain beraksi dengan semangat tinggi namun Laura menang 12-10 membolehkan beliau menempah tempat ke separuh akhir.

Beliau akan bertemu pemain Mesir Omneya Abdel Kawy di separuh akhir selepas menewaskan pemain India Dipika Pallikal 9-11, 11-6, 11-8, 2-11 dan 11-3.