Nigeria atasi Algeria 3-1

Nigeria atasi Algeria 3-1

ABUJA, 13 Nov – Victor Moses menyumbat dua gol sementara rakan sepasukannya dari Chelsea John Obi Mikel turut menemui sasaran ketika Nigeria mengatasi Algeria 3-1, semalam untuk mengekalkan laluan ke Piala Dunia 2018.

Nigeria kini mengutip penuh enam mata daripada dua perlawanan Kumpulan B, empat mata di depan Cameroon yang terikat 1-1 dengan Zambia di laman sendiri, semalam.

Sebaik sepak mula, Nigeria terus mendominasi lawan dan ia membuahkan hasil selepas 25 minit perlawanan apabila Moses bijak meloloskan diri menyambut hantaran Mikel untuk merembat bola mengatasi penjaga gol Algeria Rais M’Bolhi.

The Super Eagles menggandakan kelebihan hanya tiga minit sebelum berakhir separuh masa apabila Mikel berjaya mengawal baik bola di depan kotak penalti sebelum membuat percubaan yang melepasi jangkauan M’Bolhi.

Algeria kembali merapatkan kedudukan pada minit ke-67, apabila Nabil Bentaleb melepaskan rembatan padu yang gagal diselamatkan.

Pemain tengah Nigeria Etebo Oghenekaro (kanan) dicabar oleh Mehdi Abeid dalam perlawanan tersebut. - AFP
Pemain tengah Nigeria Etebo Oghenekaro (kanan) dicabar oleh Mehdi Abeid dalam perlawanan tersebut. – AFP

Pemain terbaik perlawanan, Moses kemudian memastikan kemenangan, selepas bertindak pantas menolak masuk bola hantaran lintang rendah Ahmed Musa pada masa kecederaan babak kedua.

Bagaimanapun perlawanan itu mungkin berakhir dengan keputusan berbeza sekiranya pelawat tidak mensia-siakan dua peluang keemasan di babak pertama.

Pertama menerusi bintang Schalke 04, Bentaleb yang terlepas peluang terhidang di depan kaki pintu gol Nigeria pada minit ke-36.

Dan seminit kemudian, Riyad Mahrez hampir meletakkan nama sebagai penjaring, tetapi percubaannya tidak menemui sasaran dengan bola segera dikeluarkan pertahanan Nigeria. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA