Nigeria-Chad bersatu perangi Boko Haram

Nigeria-Chad bersatu perangi Boko Haram

N’DJAMENA, 5 Jun (AFP) – Presiden baru Nigeria Muhammadu Buhari semalam memuji Chad kerana menyertai usaha memerangi Boko Haram, sambil berkata kerjasama lebih menyeluruh adalah perlu demi masa depan.

Pemimpin berusia 72 tahun itu mengadakan pertemuan dengan Presiden Chad Idriss Deby dii ibu negara, N’Djamena, selepas kunjungan pada Rabu ke Niger, yang juga merupakan sebahagian gabungan empat negara memerangi militan Islam tersebut.

Buhari, yang memulakan tugas Jumaat lepas, memberikan keutamaan kepada usaha menamatkan pemberontakan tersebut, selepas enam tahun keganasan yang menyebabkan sekurang-kurangnya 15,000 orang maut.

“Tentera anda berganding bahu dengan pasukan keselamatan kami dalam usaha menentang kumpulan militan jahat,” beliau memberitahu Deby.

“Ini adalah suatu tindakan yang bagus berasaskan semangat kejiranan, yang perlu kita mantapkan lagi pada tahun-tahun mendatang.”

Deby pula “menegaskan lagi pembabitan Chad serta kesediaannya bertindak pada bila-bila masa” bersama-sama dengan Nigeria, menurut kenyataan dari pejabat beliau.

Pembabitan Chad dalam gabungan bermula awal tahun ini apabila Deby menghantar tentera untuk membantu negara jiran Cameroon, yang bahagian utara jauh wilayah itu kini menjadi sasaran serangan yang semakin meningkat oleh kumpulan pemberontak.

ARTIKEL YANG SAMA