Nike, Chelsea bersatu

Nike, Chelsea bersatu

LONDON, 14 Okt – Nike akan mengambil alih peranan sebagai pembekal rasmi pakaian sukan Chelsea pada musim depan, keputusan yang disifatkan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu sebagai ‘perjanjian komersial terbesar’ dalam sejarahnya.

Chelsea dalam kenyataan mengatakan ia adalah ‘perjanjian jangka panjang’ bersama Nike.

Kelab dari London itu begitupun tidak mendedahkan sebarang perincian membabitkan kewangan mengenai perjanjian terbabit.

Begitupun, media British melaporkan perjanjian dengan Nike itu akan bernilai lebih AS$75 juta semusim bagi Chelsea yang mengatakan sedang mencari jalan membabitkan perjanjian dengan Adidas.

Chelsea menandatangani kontrak selama 10 tahun dengan Adidas pada 2013 namun ia hanya berakhir selama empat tahun. Manchester United dilaporkan memperoleh pendapatan AS$91.5 juta setahun daripada perjanjian 10 tahun dengan Adidas.

Chelsea pada musim lalu dipalit kekecewaan apabila menamatkan kempen EPL di tangga ke-10 liga yang meleburkan peluang untuk beraksi di saingan Eropah, musim ini. Selepas tujuh perlawanan musim ini, Chelsea berada di tangga ketujuh. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA