Nike teruskan penajaan kepada Sharapova

Nike teruskan penajaan kepada Sharapova

LOS ANGELES, 9 Jun – Syarikat pengeluar barangan sukan ternama, Nike, berkata, mereka akan meneruskan semula penajaan ke atas Maria Sharapova dengan menegaskan bintang Rusia itu tidak sengaja melanggar peraturan doping.

Menerusi kenyataan ringkas yang dikeluarkan beberapa jam selepas Sharapova dijatuhkan hukuman gantung dua tahun atas penggunaan bahan terlarang meldonium, syarikat dari Amerika Syarikat itu berkata mereka sudah menarik balik penggantungan yang dijatuhkan pada Mac lalu itu.

Nike berkata, keputusan itu diambil selepas tribunal yang dilantik oleh Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF) mengakui bintang tenis itu tidak sengaja melanggar peraturan doping terbabit.

“Tribunal ITF mendapati Maria tidak melanggar peraturan dengan sengaja,” kata kenyataan yang dikeluarkan Nike.

“Maria sentiasa menyuarakan kedudukannya dengan jelas, sudah meminta maaf atas kesilapannya dan kini merayu mengenai tempoh penggantungan terbabit.

“Berdasarkan keputusan daripada ITF dan juga fakta yang diperoleh mereka, kami berharap untuk melihat Maria kembali ke gelanggang dan akan meneruskan kerjasama dengannya.”

Sharapova, 29, bertekad untuk melawan keputusan penggantungan dijatuhkan ITF yang dilihat mampu untuk menamatkan kariernya.

Dia mengatakan hukuman terbabit sebagai “keras dan tidak adil.” – AFP

ARTIKEL YANG SAMA