Nikmat yang wajib disyukuri

Nikmat yang wajib disyukuri

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Ogos – Jabatan Mufti Kerajaan telah meraikan tiga orang pegawainya yang telah dikurniakan Bintang Kebesaran Negara Brunei Darussalam oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda ke-70 Tahun pada 15 Julai lalu, dalam satu Majlis Kesyukuran yang diadakan di Ruang Legar, Darulifta’ Brunei Darussalam, Jabatan Mufti Kerajaan, baru-baru ini.

Mereka ialah Timbalan Mufti Kerajaan, Dato Seri Setia Dr. Haji Japar bin Haji Mat Dain@Maidin yang dikurniakan Bintang Darjah Seri Ugama Islam Negara Brunei Yang Amat Bersinar Darjah Kedua (D.S.S.U.B.) yang membawa gelaran Dato Seri Setia; Pegawai Istanbat Kanan, Haji Dinnie bin Haji Abdullah dan Penolong Ketua Qismul Hikmah, Hajah Safiyah binti Haji Tuah, yang masing-masing dikurniakan Bintang Darjah Seri Paduka Mahkota Brunei Yang Amat Mulia Darjah Ketiga (S.M.B).

Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned dalam ucapannya pada majlis tersebut berkata, pengurniaan bintang tersebut adalah tanda penghargaan raja kepada mereka yang dikurniakan dan merupakan satu nikmat yang wajib disyukuri.

Menurut Yang Berhormat Pehin, nikmat Allah, sama ada ia besar atau kecil, banyak atau sedikit, adalah ia nikmat.

Mufti Kerajaan menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang kakitangan yang pernah berkhidmat di Jabatan Mufti Kerajaan.
Mufti Kerajaan menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang kakitangan yang pernah berkhidmat di Jabatan Mufti Kerajaan.

“Nikmat adalah milik Allah. Selaku milik Allah, pastinya ia hebat. Tetap hebat, dan nilainya sangatlah tinggi. Bahkan tidak dapat dianggar nilainya itu, Seperti misalnya udara yang kita hirup sekarang ini adalah nikmat. Siapakah dapat menganggar nilai udara?

“Begitulah dengan sebiji bintang, tanda penghargaan. Penghargaan itulah nikmat. Penghargaan dari Allah melalui raja. Raja yang hulurkan penghargaan itu dengan izin Allah jua,” ujar Yang Berhormat Pehin.

Majlis turut diselajurkan dengan penyampaian sijil penghargaan oleh tetamu kehormat majlis kepada 27 orang mantan pegawai dan kakitangan yang pernah berkhidmat di Jabatan Mufti Kerajaan.

Turut menerima sijil ialah enam orang pegawai dan kakitangan Kumpulan BUF (Bahagian Urusetia Fatwa) Jabatan Mufti Kerajaan yang mewakili jabatan dan ikut serta dalam Konvensyen Kumpulan Kerja Cemerlang tahun ini.

ARTIKEL YANG SAMA