Nikmati tawaran istimewa di Pesta Pengguna ke-17

Nikmati tawaran istimewa di Pesta Pengguna ke-17

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Jan – Orang ramai kini boleh memperoleh pelbagai jenis barangan dan perkhidmatan yang bukan sahaja ditawarkan oleh syarikat dan perusahaan tempatan, tetapi juga perusahaan-perusahaan dari negara-negara jiran semasa Pesta Pengguna ke-17 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

Pesta pengguna tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali bin Haji Apong, diselajurkan dengan pelancaran Majalah In-Fair. Turut hadir semasa pelancaran itu ialah Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Sarawak II, Menteri Perancangan Perindustrian dan Menteri Utiliti Awam, Datuk Amar Haji Awang Tengah bin Ali Hasan.

Pengarah Eksekutif D’Sunlit, Dato Paduka Haji Danial bin Haji Hanafiah dalam kata alu-aluannya berkata bahawa pesta pengguna itu berjaya untuk menarik penyertaan daripada peserta-peserta dari dalam dan luar negara termasuk penyertaan daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan yang terus meningkat.

Beliau berharap lebih banyak PKS tempatan akan mengambil peluang untuk menyertai pesta pengguna itu bagi mengetengahkan lagi produk-produk mereka bukan sahaja bagi pasaran tempatan tetapi juga pasaran antarabangsa.

Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali ketika merasmikan Pesta Pengguna ke-17.
Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali ketika merasmikan Pesta Pengguna ke-17.
Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali ketika merasmikan Majalah In-Fair.
Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali ketika merasmikan Majalah In-Fair.
Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali dan Datuk Amar Haji Awang Tengah ketika menghadiri majlis berkenaan.
Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali dan Datuk Amar Haji Awang Tengah ketika menghadiri majlis berkenaan.
Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali melawat ketika menerima penerangan daripada para peserta yang menyertai Pesta Pengguna ke-17.
Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali melawat ketika menerima penerangan daripada para peserta yang menyertai Pesta Pengguna ke-17.

pg04_160127_g

Antara petak pameran di Pesta Pengguna ke-17 tersebut.
Antara petak pameran di Pesta Pengguna ke-17 tersebut.

pg04_160127_f

Pesta pengguna, jelas Dato Paduka Haji Danial lagi merupakan platform yang berguna bagi membantu PKS tempatan untuk meningkatkan kesedaran mengenai produk serta perkhidmatan yang ditawarkan oleh mereka kepada pasaran dan pada masa yang sama juga, dapat membantu meningkatkan lagi peluang menubuhkan rangkaian perniagaan yang baru bersama usahawan dari dalam dan luar negara.

Di samping itu, jumlah pengunjung ke pesta pengguna berkenaan terus menunjukkan peningkatan, di mana jumlah itu dijangka akan terus meningkat bagi edisi Pesta Pengguna ke-17 kali ini.

Pesta Pengguna ke-17 yang menyediakan lebih dari 400 buah petak pameran telah mempamerkan pelbagai pilihan produk termasuk produk elektronik, makanan, cenderahati, perkhidmatan kewangan dan produk-produk buatan usahawan tempatan.

Selain itu, pelbagai kegiatan menarik juga telah disediakan bagi menyerikan lagi pesta pengguna tersebut termasuk acara cabutan bertuah dan pertandingan makan di mana pelbagai jenis hadiah menarik menanti para pengunjung. Sementara itu, bagi mereka yang ingin beramal sambil membeli-belah, Pusat Menderma Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) akan mengadakan kempen menderma darah pada 30 Januari bermula dari pukul 10 pagi hingga 3 petang.

Pesta Pengguna ke-17 dibuka untuk kunjungan orang ramai bermula dari hari ini hingga 31 Jan, di mana lebih 200 penyertaan usahawan dari Negara Brunei Darussalam dan juga negara-negara jiran seperti Singapura, Malaysia, Thailand serta negara-negara Asia seperti India, Bangladesh, Taiwan dan Pakistan, yang mengetengahkan pelbagai produk dan perkhidmatan terkini bagi para pengunjung.

Pesta pengguna selama lima hari itu dibuka untuk kunjungan orang ramai bermula dari pukul 10 pagi hingga 10 malam kecuali pada hari Jumaat, ia dibuka dari pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari dan dari pukul 2 petang hingga 10 malam.

Bagi kemudahan orang ramai untuk berkunjung ke pesta pengguna tersebut, perkhidmatan bas percuma turut disediakan bagi membawa pengunjung dari kawasan letak kereta di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Haji Hassanal Bolkiah ke Pusat Persidangan Antarabangsa.

ARTIKEL YANG SAMA