Nilai eksport pertanian ke Singapura meningkat

Nilai eksport pertanian ke Singapura meningkat

SINGAPURA, 30 Ogos (Bernama) – Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata nilai eksport pertanian Malaysia ke Singapura akan meningkat berikutan penyusutan ringgit.

“Ia meningkat kerana faktor nilai pertukaran mata wang,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan sambutan ulang tahun pertama Agrobazaar Malaysia (Singapura), dan kempen Riuh De Agrobazaar, di sini hari ini.

Katanya pada masa ini nilai eksport buah-buahan dan produk berasaskan pertanian Malaysia ke Singapura adalah sekitar RM300 juta setahun.

Beliau berkata ia mewakili 20 peratus daripada nilai eksport keseluruhan pertanian negara yang dianggar RM4 bilion setahun.

Mengulas lanjut, Ahmad Shabery berkata bazar agro itu juga menyumbang kepada peningkatan jualan produk pertanian Malaysia kerana rakyat Singapura boleh mendapat buah-buahan dan hasil berasaskan pertanian Malaysia pada harga yang berpatutan.

Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Ng Lang (dua, kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Sukan Singapura Lim Teck Yin (kanan) turut mengopek buah durian pada majlis perasmian ulang tahun Agrobazar Malaysia yang pertama dan pelancaran kempen ‘Riuh De Agrobazar Malaysia’ di Agrobazar Malaysia Jalan Sultan Gate Singapura kelmarin. – Bernama
Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Ng Lang (dua, kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Sukan Singapura Lim Teck Yin (kanan) turut mengopek buah durian pada majlis perasmian ulang tahun Agrobazar Malaysia yang pertama dan pelancaran kempen ‘Riuh De Agrobazar Malaysia’ di Agrobazar Malaysia Jalan Sultan Gate Singapura kelmarin. – Bernama

Turut hadir pada majlis itu ialah Pesuruhjaya Malaysia ke Singapura, Datuk Husni Zai Yaacob; Ketua Pegawai Eksekutif Urban Redevelopment Authority (URA) Singapura, Ng Lang; Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Arif Abdul Rahman; Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Tan Sri Badruddin Amiruldin; dan Ketua Pengarah FAMA Datuk Ahmad Ishak.

Agrobazaar itu merupakan cetusan idea Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengesyorkan republik ini sebagai lokasi terbaik FAMA dalam usahanya memperkenalkan buah-buahan dan produk asas tani Malaysia di peringkat global.

Agrobazaar yang terletak di Sultan Gate, kawasan yang amat popular dalam kalangan pelancong, dilancarkan secara bersama oleh Najib dan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong pada Ogos 27 2015.

Selain memperkenalkan durian Malaysia termasuk jenis ‘Musang King’, D24, dan IOI, Agrobazaar yang merupakan pusat sehenti untuk barangan halal juga menampilkan buah-buahan lain seperti manggis, rambutan, nanas, jambu batu dan pulasan serta produk asas tani keluaran perusahaan kecil dan sederhana.

Pada Jumaat lepas ringgit dilaporkan menyusut berbanding dolar Singapura kepada 2.9877/9969 daripada 2.9694/9753 pada Jumaat seminggu lalu.