Nilai pasaran...

Nilai pasaran PNB meningkat RM20 bilion

TEMERLOH, 20 April – Nilai pasaran syarikat strategik PNB telah meningkat sebanyak RM20 bilion pada suku tahun pertama tahun ini hasil pelaksanaan Pelan Strategik 2017 hingga 2022, kata Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Beliau berkata, angka berkenaan memberi semangat kepada PNB untuk meneruskan lagi pelan strategik yang dilancar pada November tahun lepas, untuk menjadikan insitusi berkenaan sebagai sebuah firma pelaburan bertaraf dunia.

“Pelan strategik selama enam tahun ini melibatkan 15 inisiatif di bawah tiga teras strategi utama, iaitu mempertingkatkan pulangan yang mampan, pengurusan dana berkesan dan memacu kecemerlangan operasi.

“Menerusinya kita berharap dapat terus meningkatkan prestasi ekuiti domestik menerusi syarikat kumpulan PNB,” katanya pada majlis perasmian Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2017 di sini, hari ini oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Turut hadir isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob serta Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed (tengah) beramah mesra dengan tujuh wakil syarikat vendor yang menerima Geran Penyelidikan dan Pengkomersilan Vendor Bumiputera (GPPV) selepas Mesyuarat Majlis Perundingan Program Pembangunan Vendor (MPPPV) di Menara MITI kelmarin. - Bernama
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed (tengah) beramah mesra dengan tujuh wakil syarikat vendor yang menerima Geran Penyelidikan dan Pengkomersilan Vendor Bumiputera (GPPV) selepas Mesyuarat Majlis Perundingan Program Pembangunan Vendor (MPPPV) di Menara MITI kelmarin. – Bernama

Abdul Wahid berkata, PNB kini memiliki dana RM266 bilion dengan sebahagian besar dilaburkan ke dalam syarikat tersenarai di Bursa Malaysia, termasuk enam syarikat strategik PNB seperti Maybank Banking Berhad dan Sime Darby Berhad.

Sementara itu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dalam ucapannya melahirkan rasa bangga dengan pencapaian PNB sebagai antara pelabur utama Bursa Malaysia, iaitu 10.8 peratus atau RM180.5 bilion.

Katanya, kejayaan itu merupakan usaha berterusan pemimpin negara dan kebijaksanaan peneraju PNB untuk meningkatkan ekonomi golongan Bumiputera serta berharap PNB akan melangkah lebih jauh lagi.

Beliau juga menasihatkkan orang ramai memanfaatkan MSAM 2017 untuk mengetahui lebih lanjut peluang meningkatkan pendapatan menerusi skim simpanan yang ditawarkan PNB.

“Saya sendiri pernah menyimpan di ASB (Amanah Saham Bumiputera) pada tahun 1991 dan tidak pernah menambah simpanan, tapi bila saya semak semula baru-baru ini, sudah menjadi RM3,000. Bayangkan jika saya menyimpan sedikit setiap bulan, sudah pasti jumlahnya akan lebih,” katanya. – Bernama