Nilai pemasangan perisian cetak rompak di M’sia merosot

Nilai pemasangan perisian cetak rompak di M’sia merosot

SINGAPURA, 29 Mei – Nilai komersial pemasangan perisian cetak rompak di Malaysia merosot kepada AS$456 juta pada 2015 berbanding AS$616 juta pada 2013, demikian menurut hasil dapatan terbaharu Kaji Selidik Perisian Global oleh BSA.

Biarpun ini dilihat sebagai satu pencapaian, namun dari segi peratusan, hasil kaji selidik itu hanya membabitkan pengurangan sebanyak satu peratus.

Apa yang pasti, kaji selidik BSA itu menunjukkan kaitan ketara antara serangan siber dan penggunaan perisian tanpa lesen atau cetak rompak.

Rakan kaji selidik BSA, International Data Corporation (IDC), menganggarkan syarikat atau organisasi global membelanjakan lebih AS$400 bilion pada tahun lepas bagi menangani impak serangan siber.

Selain membabitkan aspek kerugian kewangan, masalah itu turut menjejaskan reputasi organisasi berkenaan.

Bagi Malaysia, biarpun telah membuktikan kesungguhan menangani ancaman ini, ia dilihat masih perlu mempertingkatkan usaha bersama rakan serantau di Asia Pasifik bagi memerangi perbuatan pemasangan perisian cetak rompak.

Ini penting berikutan hasil dapatan kaji selidik itu menunjukkan Asia Pasifik terbukti menjadi lubuk perisian cetak rompak terbesar dunia yang melibatkan 61 peratus pemasangannya pada komputer peribadi.

Rantau ini juga mencatatkan nilai komersial pemasangan perisian cetak rompak tertinggi di peringkat global iaitu melebihi AS$19 bilion.

Justeru, BSA yang juga pertubuhan mewakili industri perisian komersial global, berpendapat bahawa angka ini boleh dikurangkan menerusi usaha pendidikan serta aspek penguatkuasaan secara berterusan

“Kerajaan (Malaysia) khususnya menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) ternyata amat proaktif dalam usaha menggalakkan hak harta intelek di Malaysia,” kata Pengarah Kanan BSA bagi Program Pematuhan Asia Pasifik, Roland Chan kepada Bernama.

“Bagi perisian misalnya, pihak KPDNKK telah melakukan serbuan ke atas syarikat atau perniagaan yang menggunakan perisian cetak rompak pada tahun lepas.

“Hasil pelaksanaan tindakan seumpamanya serta pendidikan oleh pihak BSA ternyata menyuntik kesedaran yang lebih ketara dan turut membantu menurunkan kadar nilai pemasangan perisian cetak rompak berkenaan,” katanya.

Chan turut memuji usaha KPDNKK serta kerajaan amnya bagi mengangkat rejim hak harta intelek di Malaysia.

Kaji Selidik BSA itu antara lainnya membuat penilaian terhadap nilai pemasangan perisian cetak rompak ke atas komputer peribadi di 116 lokasi pada tahun lepas.

Selain 22,000 pengguna komputer peribadi, seramai 2,000 pembuat keputusan Teknologi Maklumat turut menjadi responden kaji selidik berkenaan.

Kesemua negara Asia Pasifik mencatatkan pengurangan kadar pemasangan perisian cetak rompak termasuk Malaysia, kecuali Indonesia dan Brunei yang tiada perubahan dengan kadarnya menyamai tahun 2013.

Memetik Laporan Ancaman Keselamatan Internet Symantec 2016, BSA berkata kira-kira 430 juta ‘malware’ (perisian direka bagi menceroboh sistem komputer dan menyebabkan risiko termasuk mencuri maklumat) telah ditemui pada 2015, iaitu meningkat berbanding 2014. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA