Nilai Pound menjunam

Nilai Pound menjunam

LONDON, 24 Jun (AFP) – Keputusan awal pungutan suara menunjukkan sokongan kuat luar jangkaan supaya Britain keluar daripada blok Kesatuan Eropah (EU), menyebabkan nilai pound menjunam apabila pelabur bimbang berhubung nasib pakatan 28 negara itu.

Pasaran kewangan hari ini menunjukkan pergolakan yang menanti untuk ekonomi kelima terbesar di dunia, dengan pound jatuh ke tahap paling rendah setakat ini berbanding nilai dolar sejak 1985.

Beberapa minit lalu, pasaran kewangan global melonjak selepas dua tinjauan pendapat memberikan harapan bahawa rakyat Britain memilih untuk kekal dalam blok, berikutan keazaman untuk memastikan keamanan berlanjutan selepas dua perang dunia.

Seramai 46.5 juta penduduk berdaftar mengundi untuk tujuan itu, ramai daripada mereka meredah hujan lebat dan banjir untuk membuat keputusan bersejarah selepas berbalah mengenai pendatang, ekonomi dan identiti Britain.

Keputusan rasmi pertama menunjukkan bandar raya Sunderland di utara Britain mengundi meninggalkan EU dengan jurang lebih besar berbanding dijangka.

Seorang pengurup wang ketika mengira nilai pound British di Singapura Raffles Place semalam. Undi Britain untuk meninggalkan Kesatuan Eropah (EU) mengakibatkan penurunan dalam nilai pound British semalam. - Xinhua
Seorang pengurup wang ketika mengira nilai pound British di Singapura Raffles Place semalam. Undi Britain untuk meninggalkan Kesatuan Eropah (EU) mengakibatkan penurunan dalam nilai pound British semalam. – Xinhua

Keputusan itu menjadi kebimbangan bagi kumpulan yang mahu kekal, kata Profesor Simon Hix dari Sekolah Ekonomi London.

“Wow. Ia memang amat membimbangkan,” katanya kepada wartawan di London.

Dalam petunjuk mengenai ketidaktentuan berhubung pungutan suara itu, aktivis yang mahukan Britain keluar kelihatan hampir mengaku kalah beberapa jam sebelum keputusan awal disiarkan.

Walau bagaimanapun, Britain mengundi untuk keluar daripada Kesatuan Eropah (EU) dengan memperoleh 51.9 peratus undian berbanding 48.1 peratus yang mahukan ia kekal, menurut keputusan akhir daripada semua 382 pusat pengundian.

ARTIKEL YANG SAMA