Nilai ringgit Malaysia bertambah 3.6 peratus

Nilai ringgit Malaysia bertambah 3.6 peratus

KUALA LUMPUR, 18 Feb (Bernama) – Ringgit menambah nilai sebanyak 3.6 peratus berbanding dolar AS pada suku keempat 2015 dan walaupun persekitaran ekonomi mencabar pada tempoh tersebut, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

Ringgit turut menambah nilai berbanding euro (6.7 peratus), paun sterling (6.0 peratus), dan yen Jepun (4.0 peratus).

Bagaimanapun, unit tempatan menyusut nilai berbanding dolar Australia sebanyak 0.5 peratus.

Ringgit juga menambah nilai berbanding semua mata wang serantau, antara 2.4 peratus dan 5.8 peratus, kecuali rupiah Indonesia yang turun sebanyak 2.4 peratus.

“Ringgit bersama-sama mata wang serantau yang lain tidak menghadapi turun naik yang ketara pada suku keempat meskipun terdapat ketidakpastian terhadap prospek pertumbuhan global dan harga tenaga global yang semakin menurun,” menurut bank pusat itu dalam kenyataan mengenai prestasi Malaysia pada suku tersebut.

Antara 1 Jan dan 16 Feb, 2016, BNM berkata ringgit menambah nilai sebanyak 3.5 peratus berbanding dolar AS.

Ringgit juga menambah nilai berbanding paun sterling (6.3 peratus), dolar Australia (5.4 peratus) dan euro (1.4 peratus), tetapi menyusut nilai berbanding yen Jepun (-1.3 peratus). Ringgit menambah nilai berbanding kebanyakan mata wang serantau.

Pada suku keempat 2015, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berkembang 4.5 peratus berbanding 4.7 peratus pada suku ketiga 2015, menjadikan jumlah pertumbuhan tahun penuh kepada 5.0 peratus.