Nilai satu pe...

Nilai satu penghijrahan untuk sebuah kehidupan

Oleh Lenna N.B.

 

SETIAP manusia di bumi ini tidaklah sempurna. Pengalaman hidup penuh dengan detik kehitaman bukan bererti penghalang untuk berubah. Cuma, tinggal keinginan dan kemahuan untuk menemui jalan yang satu, jalan cahaya mendekatkan diri kepadaNya. Sedang pengalaman hidup menjadi teladan dan kenangan. Bukan kenangan pahit tetapi kenangan yang mengajar menjadi diri sendiri, kembali kepada tuntutan yang sebenarnya.

“Begitulah saya menemui diri saya. Kadang-kala saya ketawa juga tentang peribadi saya sebelum ini. Namun, tanpa pengalaman lampau itu, saya tidak akan menjadi seorang wanita seperti hari ini,” ucap Hajah Hadijah binti Haji Abdul Harith, pemilik dan pengasas Khadeeja Towards Modesty.

Satu proses penghijrahan

Penubuhan Khadeeja Towards Modesty atau dalam erti kata yang lain, Khadeeja Menuju Kesopanan telah bermula sekitar tahun 2012, apabila Hajah Hadijah mengambil keputusan untuk menjual tudung-tudung labuh secara online.

Sebelum Khadeeja Towards Modesty mula diasaskan, Hajah Hadijah adalah seorang wanita yang tidak pernah mementingkan soal penjagaan aurat. Seperti wanita-wanita yang sebayanya pada masa itu, Hajah Hadijah selesa berpakaian mengikut fesyen-fesyen terkini. Paling penting baginya, asalkan pakaian tersebut kelihatan cantik dan menarik.

Lebih ramai wanita bertudung labuh tampil ayu dan bergaya.
Lebih ramai wanita bertudung labuh tampil ayu dan bergaya.
Butik kecil Khadeeja Towards Modesty yang terletak di salah sebuah pusat membeli-belah.
Butik kecil Khadeeja Towards Modesty yang terletak di salah sebuah pusat membeli-belah.
Hajah Hadijah ketika sedang melayan antara pelanggan-pelangganya di jualan Bazar baru-baru ini.
Hajah Hadijah ketika sedang melayan antara pelanggan-pelangganya di jualan Bazar baru-baru ini.
Hajah Hadijah, pemilik dan pengasas sebalik butik Khadeeja Towards Modesty ketika sedang ditemuramah.
Hajah Hadijah, pemilik dan pengasas sebalik butik Khadeeja Towards Modesty ketika sedang ditemuramah.

Dalam tahun 2007 hingga 2011, Hajah Hadijah merupakan salah seorang mahasiswi KUPUSB dan banyak belajar tentang agama Islam. Namun, pada masa itu, belum ada perasaan terdetik untuk berubah melainkan hanya melihat pengajiannya sebagai mata pelajaran semata-mata. Namun, dalam tahun 2012, selepas tamatnya pengajian, seakan segala yang telah dipelajari mula memberi kesan di hati. Hajah Hadijah merasakan ada sesuatu yang kosong di jiwanya.

“Saya sendiri tidak tahu apa itu tudung labuh, apa sebenarnya sarung tangan dan sebagainya. Tetapi jiwa saya sentiasa kosong seakan hendak mencari sesuatu sehinggalah pada suatu hari, saya menemui sehelai tudung labuh yang begitu menyentuh perasaan saya. Saya memegangnya seperti memegang seorang anak kecil, seakan amat berharga. Apabila memakainya dan berdiri di hadapan cermin, saya rasa selamat dan inilah yang saya cari selama ini,” cerita Hajah Hadijah mengimbas kembali detik penghijrahannya.

Beberapa minggu selepas itu, Hajah Hadijah menyedari kesukaran mencari tudung-tudung labuh di Brunei. Jauh di sudut jiwanya, beliau merasa bertanggungjawab untuk membantu para wanita di negara ini. Membantu mereka yang ingin berhijrah, mencari tudung labuh, dan bersama-sama ingin menuju reda Allah.

“Suami saya kemudian memberikan cadangan bahawa kenapa tidak saya membuka perniagaan tudung Muslimah sendiri? Dari situlah mulanya idea saya berniaga dan mulalah tertubuhnya Khadeeja Towards Modesty. Kenapa saya gunakan ayat ‘Towards Modesty’ iaitu ‘Menuju Kesopanan’ kerana saya juga bermula daripada menuju kesopanan. Bukan sahaja mengajak wanita yang sudah menutup aurat bertudung labuh tetapi juga mengajak wanita-wanita yang belum menutup aurat untuk sama-sama menuju kesopanan. Nama ‘Khadeeja’ pula dipetik sempena dengan nama saya, ‘Hadijah’ dan nama Siti Khadijah, isteri Rasulullahlah yang berniaga.”.

Menjadi seorang usahawan wanita

Hajah Hadijah bermula dengan membawa tudung-tudung labuh dari luar negara dan berjual di sini melalui media sosial. Menurutnya, tudung labuh bukan sahaja menjaga aurat seorang wanita, tetapi memudahkannya untuk melaksanakan solat di mana sahaja tanpa membawa telekung.

“Ini adalah pengalaman saya sendiri. Selepas bertudung labuh, saya dapat menunaikan solat di pusat-pusat membeli belah, tempat riadah dan sebagainya. Saya tidak lagi perlu risau telekung yang tertinggal dan sebagainya. Begitu juga apabila saya menyusukan anak saya, dengan bertudung labuh, anak dan saya selesa kerana ia telah menutupi aurat saya dengan sempurna walaupun di tempat awam.”

Dalam tahun 2016, Hajah Hadijah kemudian mereka bentuk sendiri tudung labuh ciptaannya. Antaranya adalah ‘Tudung 360’, ‘Tudung Angel’ dan ‘Tudung Hurul ‘Ain’. Walaupun masih dalam proses percubaan pasaran tanah air, namun ternyata beliau mendapat respons yang memberangsangkan daripada orang ramai.

Tudung 360 ciptaan Hajah Hadijah.
Tudung 360 ciptaan Hajah Hadijah.

Hajah Hadijah menunjukkan antara fesyen tudung labuh yang cukup menyelesakan dan menampilkan kesopanan seorang wanita.
Hajah Hadijah menunjukkan antara fesyen tudung labuh yang cukup menyelesakan dan menampilkan kesopanan seorang wanita.
Tetap tampil sopan dengan tudung Hurul ‘Ain.
Tetap tampil sopan dengan tudung Hurul ‘Ain.

“Pada baru-baru ini, Khadeeja Towards Modesty telah ikut serta jualan Yes Letop di Dewan Persidangan Antarabangsa. Alhamdulillah semua tudung-tudung kami habis dijual termasuklah tudung ciptaan saya. Semuanya atas rezeki Allah jua,” jelas Hajah Hadijah.

Inspirasi ramai golongan wanita

Sejak dalam bidang perniagaan ini, Hajah Hadijah juga mengalami pelbagai peristiwa yang cukup indah menurutnya. Dalam melihat Khadeeja Towards Modesty sebagai medium dakwah, Hajah Hadijah telah membuka sesi perkongsian di media sosial yang dinamakannya sebagai ‘Saat Hijrahku’ sebagai ruang untuk wanita-wanita berkongsi pengalaman mereka berhijrah.

“Sebenarnya, banyak wanita yang mahu berubah namun mereka tidak tahu bagaimana caranya, tambahan lagi dengan pandangan masyarakat. Mereka rasa takut, malu dan sebagainya. Wanita yang melepasi dugaan itu dan berubah adalah suatu kejayaan. Oleh itulah, saya membuka ruangan ‘Saat Hijrahku’ agar menjadi inspirasi ramai wanita di luar sana.”

Menurut Hajah Hadijah, sesi perkongsian ‘Saat Hijrahku’ dilakukan setahun sekali yang dihantar oleh wanita-wanita yang telah berjaya melakukan perubahan dalam hidup mereka. Perkongsian mereka itu kemudiannya saya muat naik di media sosial dengan izin mereka, menukar nama dan sebagainya.

“Peristiwa yang mengagumkan berlaku pada tahun lepas, apabila seorang wanita membaca kisah ‘Saat Hijrahku’ di Facebook datang ke butik saya menangis-nangis. Padahal saya tidak mengenalinya, tetapi dia memeluk saya menjelaskan bahawa dirinya ingin berubah. Dia ingin menjadi wanita yang lebih baik. Alhamdulillah, kami telah melihat dengan mata kami sendiri bagaimana perniagaan ini menjadi medium dakwah.”

Khadeeja Towards Modesty turut membangunkan sebuah laman web khas untuk perkongsian kisah-kisah ‘Saat Hijrahku’ di Internet, di mana orang ramai boleh memuatnurunkan secara percuma beberapa buah kisah perkongsian cerita-cerita hijrah tersebut. Setakat ini, hanya mempunyai 4 cerita yang telah dimuatnaikkan dan kira-kira terdapat lebih daripada 20 cerita yang tersimpan untuk proses pengeditan dan bakal dimuatnaikkan dalam laman web tersebut. Semuanya adalah cerita inspirasi wanita-wanita Brunei yang telah melakukan penghijrahan dalam hidup mereka meninggalkan pakaian ketat, dunia fesyen dan sebagainya untuk menjadi seorang wanita solehah.

“Pada baru-baru ini juga, saya telah menerima kisah seorang wanita dari Sabah. Alhamdulillah, sangat gembira melihat usaha kami ini bukan sekadar perniagaan tetapi menjadi inspirasi ramai wanita. Malah, ada antaranya tampil berani berkongsi tentang kisah mereka.”

Bergaya dengan trend labuh

Mungkin ramai antara kita yang salah faham terhadap tudung labuh itu sendiri. Ada yang menanggap tudung labuh itu hanyalah berwarna gelap dan sangat besar serta memanjang.

“Islam itu mudah. Dalam sebuah firman, Allah mewajibkan wanita melabuhkan pakaiannya, tetapi tidak pernah Allah menentukan warna pakaian tersebut atau sebagainya. Labuh bererti kita menutup aurat dengan sempurna, pakaian tidak ketat dan longgar. Menjaga aset-aset tubuh kita daripada menarik pandangan lelaki.”

Menurut Hajah Hadijah sebenarnya wanita bertudung labuh boleh memakai aneka warna asalkan tubuhnya ditutup aurat. Tidak salah mengikuti fesyen terkini asalkan aurat terjaga. Oleh itulah, adanya jubah pelbagai fesyen dan warna, tudung-tudung variasi gaya dan lain-lain. Ini menunjukkan wanita mampu bergaya walaupun dengan berlabuh. Wanita tetap dapat tampil sopan dengan warna-warna merah jambu, biru, hijau dan lain-lain.

Terus berdakwah melalui pakaian

Bagi Hajah Hadijah, dia akan terus berdakwah melalui perniagaan pakaian-pakaian labuh wanita kerana apabila wanita berpakaian sopan, maka dengan sendirinya peribadinya berubah lebih sopan dan hubungannya dengan Allah terjaga. Dakwah pula tidak had terhadap kaum Hawa, malah kaum Adam juga sedar tanggungjawab mereka menjaga aurat isteri, adik-beradik wanita, ibu, saudara-mara dan sebagainya.

“Kami bukan ustazah, penceramah, selebriti dan sebagainya, tetapi kami hanyalah usahawan yang ingin berdakwah. Kami ingin mendukung negara zikir melalui pakaian yang sopan dituntut Islam dan kami ingin menjadi inspirasi ramai wanita di luar sana. InsyaAllah, kita bersama menuju kepada keredaanNya,” ucap Hajah Hadijah di hujung temu ramah.

Usahawan wanita inspirasi kita. Walau pertemuan Media Permata bersamanya hanya beberapa jam namun setiap perkongsian usahawan wanita ini umpama khazanah yang perlu kita simpan erat-erat untuk perjalanan laluan hidup seterusnya. Terima kasih Hajah Hadijah atas kesudian meluangkan waktu bersama Media Permata.