Nintendo pintas Sony dalam nilai pasaran

Nintendo pintas Sony dalam nilai pasaran

TOKYO, 19 Julai – Nintendo pada hari ini memintas Sony dalam nilai pasaran setelah saham dalam syarikat permainan video itu bertambah dua kali ganda ekoran pelancaran permainan Pokemon Go yang popular itu.

Saham meningkat lebih daripada 14 peratus kepada 31,770 yen, bertambah 120 peratus berbanding 6 Julai. Ia menempatkan permodalan pasaran Nintendo pada 4.5 trilion yen – menjadikannya lebih berharga daripada Sony, salah sebuah syarikat paling terkenal di Jepun, sebanyak kira-kira 400 bilion yen.

Pada Jumaat, Nintendo, pencipta francais Pokemon berusia 20 tahun, mencatat rekod untuk saham paling banyak yang diniagakan sehari di Jepun. Sejak dilancarkan dua minggu lalu, permainan untuk gajet peranti itu telah mencetuskan kegilaan di seluruh dunia di kalangan pengguna yang telah membanjiri jalan dengan telefon pintar mereka.

Aplikasi percuma itu menggunakan ciri-ciri lokasi satelit, grafik dan kamera untuk menyertai raksasa kartun dalam persekitaran dunia sebenar, mencabar pemain supaya menangkap dan melatih makhluk berkenaan untuk pertempuran. Pelabur sedang mempertaruhkan kepopularannya merupakan satu petanda yang baik untuk usaha Nintendo untuk menembusi permainan peranti, satu keputusan berlawanan untuk sebuah syarikat yang lama mengamalkan dasar konsol sahaja. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA