Nishikori gagal ulangi sejarah 2014

Nishikori gagal ulangi sejarah 2014

NEW YORK, 2 Sept (Reuters) – Harapan Kei Nishikori untuk mengulangi magis tahun lalu tidak kesampaian apabila dia ditunjukkan jalan keluar seawal pusi­ngan pertama pada kejohanan tenis Terbuka Amerika Syarikat (AS) semalam.

Selepas melakar kejutan muncul naib juara 2014, pilihan keempat dari Jepun itu terpaksa akur dengan kekalahan 4-6, 6-3, 6-4, 6-7 (6/8), 4-6 kepada pemain Perancis, Benoit Paire dalam pertarungan tiga jam, 14 minit.

“Ia sangat mengecewakan apabila kalah pada pusingan pertama, tetapi saya fikir saya telah memberikan permainan terbaik hari ini.

“Saya tidak rasa saya bermain terlalu teruk, cuma permainan saya tidaklah begitu bagus dan perlawanan pertama biasanya tidak mudah,” kata Nishikori, pemilik tiga kejuaraan Jelajah ATP musim ini.

Nishikori, 25, mencuri tumpuan tahun lalu apabila mengalahkan beberapa nama besar seperti Stan Wawrinka dan Milos Raonic sebelum menyingkirkan pemain No. 1 dunia, Novak Djokovic untuk melangkah ke final Grand Slam buat kali pertama. Dia bagaimanapun tewas kepada Marin Cilic dalam perebutan gelaran.

Nishikori jelas kecewa meninggalkan gelanggang selepas tersingkir seawal pusingan pertama Terbuka AS apabila tumpas kepada Paire, kelmarin. – Reuters
Nishikori jelas kecewa meninggalkan gelanggang selepas tersingkir seawal pusingan pertama Terbuka AS apabila tumpas kepada Paire, kelmarin. – Reuters

Bagi Paire, 26, yang menghuni ranking ke-41 dunia, kemenangan ke atas Nishikori cukup istimewa dan dia tidak pernah membayangkannya sebelum menjejak kaki ke Flushing Meadows.

“Untuk menewaskan Nishikori, pada saya ia sesuatu yang tidak pernah dibayangkan sebelum perlawanan. Dia bermain baik hari ini, tetapi saya melakukan beberapa pukulan kilas yang bagus,” kata Paire.

Sementara itu, juara dua kali, Rafael Nadal diberi tentangan sengit oleh pemain Croatia, Borna Coric sebelum mara ke pusingan kedua untuk mengiringi pemain No.1 dunia, Novak Djokovic.

Nadal yang kali terakhir memenangi gelaran di New York pada 2013 meraih kemenangan 18, 6-3, 6-2, 4-6, 6-4.

Pilihan kelapan dari Sepanyol itu kini akan menentang pemain Argentina, Diego Schwartzman yang mara selepas menyingkirkan Elias Ymer dari Sweden 6-3, 6-2, 6-2.

“Saya berpeluh dengan banyak sekali dan mengalami sedikit masalah perut hingga menyebabkan saya tidak bermain begitu bagus,” kata Nadal.

Jaguh Serbia yang juga juara 2011 dan pilihan utama, Djokovic hanya memerlukan satu jam 11 minit untuk mengetepikan pemain tidak ternama Brazil, Joao Souza 6-1, 6-1, 6-1.

ARTIKEL YANG SAMA