Nishikori harapkan tuah tahun lepas

Nishikori harapkan tuah tahun lepas

WASHINGTON, 4 Ogos (AFP) – Pemain ranking kelima Jepun Kei Nishikori mencipta sejarah apabila mencecah akhir Terbuka Amerika Syarikat tahun lalu dan dia merasakan lebih kuat, lebih bijak dan lebih yakin ketika memulakan usaha untuk mengulangi kejayaan itu.

Nishikori memulakan kempen gelanggang keras Flushing Meadows dengan pusingan pertama Selasa ini menentang pemain ranking ke-95 dari Australia James Duckworth di ATP Terbuka Washington. “Tenis saya bertambah baik. Saya berasa kuat dan yakin,” kata Nishikori. “Saya tidak sabar-sabar untuk bermain dalam minggu ini.”

Nishikori mengalahkan pesaing enam teratas Milos Raonic dan Stan Wawrinka dalam lima set dan kemudian menyingkirkan pemain nombor satu Novak Djokovic untuk melangkah ke final Terbuka AS tahun lepas, sekali gus menjadi pemain Asia pertama sampai ke final perseorangan Grand Slam.

Pemain Croatia Marin Cilic mengalahkan Nishikori dalam kejohanan itu, namun pemain berusia 25 tahun itu telah memperbaharui keyakinan bahawa dia mempunyai apa yang diperlukan untuk kembali ke final Grand Slam dan mungkin mencipta sejarah dengan memenanginya.

Kei Nishikori bergambar bersama maskot Nissin Foods selepas sidang media mengenai pembaharuan kontrak tajaannya di Tokyo 13 Julai lalu. – Reuters
Kei Nishikori bergambar bersama maskot Nissin Foods selepas sidang media mengenai pembaharuan kontrak tajaannya di Tokyo 13 Julai lalu. – Reuters

“Perkara paling besar ialah pengalaman. Kali pertama dalam final Grand Slam, saya bermain lima set dua kali. Saya belajar banyak perkara,” kata Nishikori.

“Tahun ini berbeza. Mental saya sedikit kuat. Menewaskan Novak, Stan dan 10 pemain teratas. Saya percaya kepada diri sendiri. Saya berharap saya boleh bermain tenis yang baik dalam beberapa minggu akan datang.”

Walaupun kedudukan Rafael Nadal telah merosot kerana kecederaan, Nishikori melihat empat pemain teratas Djokovic, Nadal, Roger Federer dan pilihan utama Washington Andy Murray sebagai pemain teratas dunia tenis buat masa ini, walaupun Wawrinka menjulang dua gelaran Grand Slam.

“Saya harap dapat menjadi salah seorang pada masa akan datang,” kata Nishikori. “Pemain baru akan muncul dalam 10 teratas tetapi empat teratas masih ada. Sedikit demi sedikit kami akan melaluinya. Ia baik untuk tenis.”