Nishikori mara di ATP Washington

Nishikori mara di ATP Washington

WASHINGTON, 5 Ogos (AFP) – Pemain ranking kelima dari Jepun, Kei Nishikori bangkit untuk menewaskan James Duckowrth dari Australia 6-7 (8/10), 6-1, 6-4 semalam dan mara ke pusingan ketiga Terbuka ATP dan WTA Washington.

Pemain nombor satu Asia berusia 25 tahun itu yang beraksi dalam pertandingan pertamanya sejak menarik diri pada pusingan kedua Wimbledon kerana kecederaan kaki, bangkit selepas melepaskan tie–break yang sengit untuk menguasai permainan.

“Dari set kedua, saya mula beraksi dengan lebih baik, kurang melakukan kesilapan dan lebih agresif,” kata Nishikori. “Saya merasa gembira dengan cara saya beraksi selepas set kedua.”

Laluan Nishikori seterusnya adalah pemenang pertandingan hari ini di antara Leonardo Mayer dari Argentina dan Blaz Rola dari Slovenia.

Juara terbuka AS, Marin Cilic bersedia untuk memulakan aksi gelanggang keras pertamanya dalam laluan bagi mempertahankan gelaran Flushing Meadowa awal pagi ini menentang pemain remaja dari Korea Selatan, Chung Hyeon. Ia adalah persaingan pertama Cilic sejak tewas suku akhir Wimbledon kepada juara Novak Djokovic.

Nishikori berjabat tangan dengan James Duckowrth selepas menang untuk mara ke pusingan ketiga Terbuka ATP dan WTA Washington semalam. – AFP
Nishikori berjabat tangan dengan James Duckowrth selepas menang untuk mara ke pusingan ketiga Terbuka ATP dan WTA Washington semalam. – AFP

Cilic, pilihan ketiga dan juara Terbuka AS pertama untuk beraksi di ibu negara AS sejak Andre Agassi pada 2000 dan Nishikori, yang tewas kepada pemain dari Croatia itu pada final Flushing Meadows tahun lepas, masing–masing mendapatkan bye pertama dalam aksi gelanggang keras.

Nishikori, diuji oleh pesaing berusia 23 tahun dari ranking ke-90 dalam aksi pembukaan gelanggang keras pra Terbuka, memburu gelaran ketiganya tahun ini selepas Memphis dan Barcelona dan ke-10 dalam kerjayanya.

“Ia adalah pertandingan pertama saya di gelanggang keras,” kata Nishikori. “Sudah lama saya tidak beraksi di gelanggang keras. Ini seharusnya OK bagi pertandingan seterusnya.”

Duckworth dan Nishikori berbalas–balas break untuk memulakan pertemuan pertama mereka dan sekali lagi pada set pertama dalam laluan kepada tie break sengit yang dipimpin oleh Duckworth 6-4 selepas Nishikori membuat pukulan backhand.